Accessibility Tools

Skip to main content

Cadangan membina 17 pakar jadi intipati belanjawan Kelantan 2027

  • 27 September 2026
  • Oleh: Irham Hilmi Hashim
  • 33

KOTA BHARU, 27 September – Sebanyak 17 wakil profesional dan NGO mengemukakan pandangan serta cadangan membina dalam sesi libat urus yang boleh dijadikan antara intipati utama penyediaan Belanjawan Kelantan 2027.

Timbalan Menteri Besar YB Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, pandangan yang merangkumi pelbagai bidang itu merupakan input bernilai kepada Kerajaan Negeri dalam merangka perancangan pembangunan.

Menurutnya, pandangan dikemukakan daripada pelbagai pihak termasuk golongan profesor dan Persatuan Nelayan yang membangkitkan isu berkaitan kepentingan masyarakat serta pembangunan negeri.

“Mengikut catatan saya, terdapat 17 orang wakil profesional dan NGO yang telah memberikan pandangan yang sangat bernilai. Cadangan-cadangan ini sudah cukup untuk dijadikan intipati utama dalam penyediaan belanjawan negeri bagi tahun hadapan,” katanya ketika berucap pada Majlis Townhall Profesional Kelantan: Libat Urus Strategik ke Arah Belanjawan Kelantan 2027 di sebuah hotel di Kota Bharu, semalam.

Dalam pada itu, katanya, semua cadangan berkaitan infrastruktur, pelancongan, perubatan dan agama akan dianggap sebagai cadangan membina untuk diusahakan pelaksanaannya mengikut kemampuan.

Beliau merakamkan penghargaan kepada anak-anak Kelantan serta semua pihak yang menyumbangkan buah fikiran dalam usaha bersama-sama membangunkan negeri.

Pautan berjaya disalin!