Lebih 90 peratus tanah kekal rizab Melayu, Kelantan utamakan pemeliharaan hak hakiki rakyat
-
27 September 2026
-
Oleh: Irham Hilmi Hashim
-
24
KOTA BHARU, 27 September – Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, Enakmen Tanah Rizab Melayu Kelantan telah membantu mengekalkan lebih 90 peratus tanah di negeri itu sebagai milik orang Melayu.
Menurutnya, kedudukan tersebut perlu dipertahankan meskipun pada masa sama wujud cabaran dari sudut usaha menarik pelaburan dan mengembangkan ekonomi negeri.
“Jika kita mahu mengejar kemajuan ekonomi secara liberal, kita boleh meminda enakmen tersebut dan membuka pintu seluas-luasnya, tetapi ia bakal menjejaskan hak milik yang kita pertahankan selama ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Townhall Profesional Kelantan: Libat Urus Strategik ke Arah Belanjawan Kelantan 2027 di sebuah hotel di Kota Bharu, semalam.
Sehubungan itu, katanya, pendekatan yang seimbang perlu dicari supaya pembangunan ekonomi dapat diteruskan tanpa mengorbankan kepentingan tanah rizab Melayu yang dipertahankan selama ini.
Tambahnya, isu tersebut merupakan antara perkara yang perlu diberi pertimbangan dalam merangka hala tuju pembangunan negeri.








