Program permotoran dapat sambutan hangat anak muda Kelantan - Exco Belia
-
27 September 2026
-
Oleh: Asri Hamat
-
43
BACHOK, 27 September - Program permotoran terus mendapat sambutan hangat dalam kalangan masyarakat di Kelantan, khususnya golongan anak muda, kata Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Kelantan, YB Zamakhshari Mohamad.
Menurutnya, beberapa acara permotoran sudah dianjurkan sepanjang tahun ini, termasuk program 'Ride With Me' yang berlangsung pada Jumaat malam dan Gelombang Rider Kelantan, Himpunan Anak Muda, Kelantan 2026 yang diadakan, semalam.
"Kita lihat program permotoran ini sentiasa mendapat sambutan yang sungguh hangat di Kelantan.
"Sepanjang tahun ini telah beberapa acara permotoran yang telah dibuat termasuk semalam (Jumaat) 'Ride With Me' dan alhamdulillah himpunan rider anak muda," katanya ketika merasmikan program Gelombang Rider Kelantan, Himpunan Anak Muda, Kelantan 2026 di Tapak Ekspo, Pantai Irama, di sini, semalam.
Menurutnya, dua lagi program besar berkaitan permotoran akan diadakan di peringkat negeri selepas ini, iaitu Mat Motor pada 10 Oktober bersempena Hari Sukan Negara, selain Kelantan Bike Week yang difahamkan akan diadakan pada Oktober atau November.
Katanya, penganjuran pelbagai acara berkenaan dialu-alukan bagi meraikan minat anak muda terhadap dunia permotoran.
"Semua acara ini adalah sangat kita alu-alukan untuk meraikan minat anak-anak muda," jelasnya.
Beliau turut berseloroh bahawa program permotoran yang dianjurkan boleh kembali membangkitkan minat golongan lebih berusia terhadap aktiviti bermotosikal.
"Selepas semalam 'Ride With Me', hari ini pula tengok program ini rasa naik angin. Motosikal ada di rumah tapi lama tidak naik.
"Jadi lepas ini tengoklah mana-mana kumpulan-kumpulan yang sesuai dengan umur kita, insya Allah boleh sertai pula," katanya.
Tambah YB Zamakhshari , kerajaan negeri turut mengalu-alukan penganjuran program berbentuk permotoran yang boleh menjadi platform untuk menyatupadukan anak muda.
Pada masa sama, katanya, golongan lebih berusia yang mempunyai pengalaman dalam dunia permotoran boleh menjadi panduan kepada golongan muda yang baru berjinak-jinak dalam arena berkenaan.
"Jadi tahniah sekali lagi kepada urus setia dan juga saya bagi pihak kerajaan negeri mengalu-alukan sebarang program yang berbentuk permotoran begini yang insya Allah boleh menyatupadukan anak muda.
"Manakala sebagai orang tua, orang lama menjadi panduan dan menunjukkan kepada anak muda yang baru nak berjinak-jinak dalam arena permotoran," katanya.
Beliau turut menggalakkan pihak yang berminat berbincang dengan Urus Setia Belia dan Sukan (U-BeS) bagi mengadakan program-program seumpama itu pada masa akan datang.
Hadir sama, Ahli Dewan Negeri (ADN) Pantai Irama YB Che Huzaimy Che Hussin dan Timbalan Pengarah U-BeS Mohd Firdaus Mohd Nawi.












