Accessibility Tools

Skip to main content

Guru YIK berelaun naik status guru sandaran

  • 27 September 2026
  • Oleh: Asri Hamat | Kredit foto: Media YB Dato' Wan Roslan
  • 80

KOTA BHARU, 27 September - Berita gembira bagi semua guru Yayasan Islam Kelantan (YIK) yang sebelum ini berstatus elaun akan dinaikkan status kepada lantikan guru sandaran bermula tahun ini.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato' Wan Roslan Wan Hamat berkata, keputusan itu dipersetujui dalam mesyuarat Lembaga YIK.

Katanya, langkah berkenaan adalah usaha kerajaan negeri untuk meningkatkan mutu perkhidmatan guru di YIK, selain memperkukuh struktur perkhidmatan dan memberikan kedudukan lantikan yang lebih jelas serta tersusun.

"Keputusan ini merupakan satu langkah untuk memperkukuh struktur perkhidmatan guru di YIK di samping memberikan kedudukan lantikan yang lebih jelas dan tersusun kepada guru-guru yang telah memberikan khidmat kepada YIK."

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Apresiasi Guru Cemerlang Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU), Sijil Menengah Tahfiz Al-Quran (SMTQ), Sijil Tinggi Ugama Pondok (STUP), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2025 di Dewan YIK, Tunjong, di sini, semalam.

Kata Dato' Wan Roslan lagi, bagi guru yang bakal berkhidmat dengan YIK selepas ini, mereka akan dilantik terus sebagai guru sandaran dengan tempoh kontrak selama lima tahun, tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan.

"Langkah ini penting bagi memastikan sekolah mempunyai kestabilan tenaga pengajar dan guru pula mempunyai ruang yang lebih mencukupi untuk membina hubungan dengan pelajar, memahami budaya sekolah serta memberikan sumbangan secara berterusan.

"Dalam masa yang sama, pemerkasaan ini merupakan hubungan dua hala di mana kerajaan memberikan kedudukan dan penambahbaikan dalam struktur perkhidmatan, manakala guru pula memberikan komitmen terhadap amanah yang telah diterima," jelasnya.

Menurutnya, bagi lantikan yang tertakluk kepada kontrak lima tahun, sekiranya berlaku pelanggaran kontrak atau pengunduran sebelum tamat tempoh, bayaran akan dikenakan bersamaan kira-kira tiga bulan, tertakluk kepada terma dan syarat kontrak.

"Kita mahu setiap lantikan yang dibuat memberikan satu bentuk komitmen perkhidmatan yang jelas.

"Dengan kestabilan tenaga pengajar, sekolah dapat merancang dengan lebih baik, guru dapat memberikan khidmat yang lebih berterusan dan yang paling penting proses pendidikan anak-anak tidak terjejas," ujarnya.

Mengulas tentang anugerah guru cemerlang, beliau berkata pengiktirafan terhadap guru cemerlang menjadi amanah untuk terus berkongsi kecemerlangan itu.

"Jangan biarkan amalan yang baik terhenti pada seorang guru sahaja. Kongsikan pengalaman, bimbing guru-guru yang baharu dan jadikan kejayaan yang dicapai sebagai kekuatan.

"Guru yang cemerlang bukan hanya yang menghasilkan pelajar yang cemerlang tetapi turut membantu membina sekolah yang cemerlang," katanya.

Sebanyak 566 guru cemerlang diraikan dalam majlis berkenaan, termasuk 21 guru sekolah luar yang menyertai peperiksaan SMU dan SMTQ kelolaan YIK iaitu 19 guru adalah dari sekolah swasta luar Kelantan, seorang dari sekolah swasta dalam Kelantan dan seorang dari Kemboja.

Hadir sama, Pengarah YIK Shamsul Abu Bakar dan Timbalan Pengarah YIK (Akademik) Sukri Hussin.

Pautan berjaya disalin!