Tengku Mahkota Kelantan rasmikan Malam Semarak Daulat
-
26 September 2026
-
Oleh: Asri Hamat
-
44
KOTA BHARU, 26 September - Tengku Mahkota Kelantan Yang Teramat Mulia Tengku Muhammad Fakhry Petra ibni Almarhum Sultan Ismail Petra berkenan mencemar duli merasmikan Malam Semarak Daulat sempena sambutan ulang tahun Hari Keputeraan Ke-57 Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V bagi tahun 2026 di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, malam tadi.
Sebagai gimik perasmian, baginda memulas pendikit motosikal Harley-Davidson sebanyak tiga kali sebelum diikuti rakan penunggang yang berada di balapan Stadium Sultan Muhammad IV.
Baginda turut menurunkan tandatangan pada tangki motosikal yang menjadi hadiah utama cabutan bertuah.
Terdahulu, baginda mengetuai konvoi 'Ride With Me' dengan diiringi 57 motosikal berkuasa tinggi berjenama Harley-Davidson dan jenama lain, selain lebih 500 motosikal pelbagai jenama.
Konvoi bermula dari RTC Tunjong menuju ke Stadium Sultan Muhammad IV, dengan majlis pelepasan disempurnakan Timbalan Menteri Besar YB Dato' Mohamed Fadzli Hassan.
Sementara itu, Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud dalam ucapannya menyifatkan majlis berkenaan mencerminkan eratnya hubungan antara raja dan rakyat yang berpisah tiada.
Katanya, rakyat menzahirkan kasih, hormat dan taat setia kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku manakala Tuanku pula sentiasa menaungi rakyat dengan penuh kasih serta keprihatinan terhadap kesejahteraan mereka.
"Hubungan yang erat dan saling melengkapi inilah menjadi antara kurniaan yang amat bernilai buat negeri Kelantan Darul Naim," katanya.
Tambahnya, Kerajaan Negeri Kelantan sentiasa komited mendukung dan memperkasa pelbagai usaha yang menyuburkan semangat kekitaan, memelihara kesejahteraan serta memperkukuh perpaduan dalam kalangan seluruh lapisan masyarakat.
"Usaha ini dilaksanakan melalui pelbagai pendekatan dan program yang melibatkan semua pihak termasuk golongan belia, komuniti setempat, pertubuhan masyarakat serta pelbagai agensi agar semangat kebersamaan dan keharmonian terus subur dalam kehidupan rakyat," jelasnya.
Menyentuh konvoi bermotosikal yang diketuai Tengku Mahkota Kelantan, beliau berkata hobi dan minat adalah antara sifat fitrah yang dianugerahkan Allah SWT kepada setiap manusia.
Katanya, bertitik tolak daripada fitrah itu, pelbagai bentuk aktiviti akhirnya berkembang menjadi seni, budaya dan warisan dalam kehidupan masyarakat.
"Dalam menyantuni fitrah tersebut, Islam sebagai cara hidup yang lengkap dan sempurna tidak pernah menyekat atau menghalang kecenderungan manusia, sebaliknya menyediakan panduan yang jelas agar setiap minat dan kecenderungan dapat disalurkan dengan cara yang baik dan berlandaskan syariat termasuk dalam aspek hiburan serta aktiviti permotoran seperti yang dilaksanakan pada malam ini," ujarnya.
Beliau juga menegaskan, itulah keindahan hidup berpandukan syariat apabila Islam difahami dengan semangat ukhuwah dan kekitaan yang lebih daripada sekadar sebuah himpunan.
"Program ini turut mengangkat nilai dan roh kebersamaan yang menjadi asas penting dalam memperkukuh perpaduan rakyat yang telah terbina di negara kita," katanya.
Majlis Semarak Daulat turut dimeriahkan dengan persembahan khas Malam Semarak Daulat menerusi tarian Tualang Tiga, kolaborasi kumpulan kesenian Jabatan Kesenian, Kebudayaan Negara Negeri Kelantan (JKKNK) bersama Kumpulan Bimbingan Seni Cemerlang dan murid dari Sekolah Kebangsaan Padang Garong 1, Sekolah Kebangsaan Kampung Delima serta Sekolah Kebangsaan Kota Jembal.
Persembahan itu diselaraskan JKKNK dan Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan.
Majlis turut diserikan dengan persembahan artis tempatan, cabutan bertuah dan pertunjukan bunga api.














