PJK taja buggy solar dikenderai MB Kelantan, pemimpin negeri di Pesta Flora 2026
-
24 September 2026
-
Oleh: Norzana Razaly
-
46
KOTA BHARU, 24 September — Politeknik Jeli Kelantan (PJK) menaja dua buah buggy berteknologi solar sebagai kenderaan khas Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud bersama barisan kepimpinan negeri ketika menghadiri majlis perasmian Pesta Flora 2026 di Taman Perbandaran Tengku Anis, di sini, hari ini.
Penggunaan buggy solar itu mencipta kelainan apabila kenderaan berkenaan julung kali diperkenalkan dalam penganjuran Pesta Flora, menggantikan buggy konvensional yang digunakan sebelum ini sekali gus mengetengahkan aplikasi teknologi hijau dalam acara berkenaan.
Sehubungan itu, Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail merakamkan penghargaan kepada PJK atas penajaan dua kenderaan berkenaan.
“Mewakili Jawatankuasa Induk Pesta Flora 2026, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada PJK atas penajaan dua buah buggy solar.
“Kenderaan ini merupakan julung kali digunakan dalam penganjuran Pesta Flora. Sebelum ini hanya buggy biasa digunakan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, penggunaan kenderaan berteknologi solar itu selari dengan pengisian Pesta Flora yang mengetengahkan kelestarian alam, selain memperlihatkan potensi teknologi tenaga boleh diperbaharui diaplikasikan secara praktikal dalam pengurusan acara.
“Kita dapat melakukan penjimatan dalam empat perkara; Pertama, kenderaan ini menggunakan 100 peratus teknologi solar. Kedua, ia boleh dicas penuh dalam tempoh satu jam. Ketiga, penggunaannya boleh bertahan sehingga seminggu.
“Keempat, berdasarkan pengalaman penggunaannya sepanjang Pesta Flora, kadar penggunaan bateri direkodkan hanya 0.1 peratus,” jelasnya.
Sementara itu, Pengarah PJK Gs. Mohd Zamre Ab Rahman berkata, penajaan buggy solar tersebut mempunyai kaitan langsung dengan kepakaran pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) yang dibangunkan institusi berkenaan khususnya menerusi Jabatan Kejuruteraan Elektrik (JKE).
Menurutnya, PJK menawarkan Diploma Kejuruteraan Elektrik (Tenaga Hijau) yang membekalkan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang kejuruteraan elektrik, teknologi komputer serta tenaga hijau.
“Program ini memberi fokus kepada sistem tenaga boleh diperbaharui termasuk pemasangan dan penyelenggaraan sistem fotovolta suria (solar PV), integrasi tenaga hijau serta pengurusan kecekapan tenaga.
“Justeru, penglibatan PJK dalam Pesta Flora 2026 sebagai rakan strategik melalui penajaan kenderaan ini turut menjadi platform memperkenalkan aplikasi sebenar teknologi tenaga hijau kepada masyarakat,” katanya.
Beliau juga memaklumkan, kurikulum program berkenaan turut merangkumi asas pendawaian elektrik, litar elektronik, sistem kuasa, pengaturcaraan komputer dan reka bentuk berbantu komputer serta pelaksanaan projek tahun akhir.
“Program Diploma Kejuruteraan Elektrik (Tenaga Hijau) yang ditawarkan PJK juga telah mencapai tahap kualiti ditetapkan dan mendapat pengiktirafan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
“Penglibatan PJK menerusi penggunaan buggy solar ini sekali gus mempertemukan pendidikan TVET dengan aplikasi sebenar teknologi hijau, selain memberi nilai tambah kepada Pesta Flora 2026 sebagai platform yang menghubungkan kelestarian alam, inovasi dan pendidikan teknikal,” jelasnya.












