Majlis Daerah Bachok juara Pertandingan Landskap PBT Pesta Flora Negeri Kelantan 2026, raih RM10,000
-
24 September 2026
-
Oleh: Syamimi Manah
-
56
KOTA BHARU, 24 September – Majlis Daerah Bachok Bandar Pelancongan Islam (MDBBPI) muncul juara Pertandingan Landskap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sempena Pesta Flora Negeri Kelantan 2026, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000.
Majlis pengurniaan hadiah tersebut disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultanah Kelantan, Sultanah Nur Diana Petra Abdullah pada Majlis Perasmian Pesta Flora Negeri Kelantan 2026 di Taman Perbandaran Tengku Anis, hari ini.
Pertandingan bertemakan ‘Laman Fantasi’ itu mengetengahkan konsep yang membawa pengunjung ke suasana fantasi yang penuh warna, cahaya dan keajaiban alam.
Tempat kedua dimenangi Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam dengan hadiah RM7,000, manakala Majlis Daerah Tanah Merah meraih tempat ketiga dengan hadiah RM5,000.
Yang Dipertua Majlis Daerah Bachok Mohd Zaki Yusof berkata, kejayaan tersebut hasil komitmen setiausaha, pegawai dan seluruh kakitangan pihak berkuasa tempatan itu yang bertungkus-lumus menyiapkan taman berkenaan.
“Alhamdulillah syukur kepada Allah SWT kerana pada tahun ini Majlis Daerah Bachok, Bandar Pelancongan Islam dinobatkan sebagai Johan pertandingan taman sempena Pesta Flora bagi tahun 2026.
“Saya nak mengambil kesempatan di sini mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada setiausaha, pegawai-pegawai dan semua kakitangan Majlis Daerah Bachok yang bertungkus-lumus untuk menyiapkan satu taman yang cukup fantasi memenuhi kriteria menerusi hakim yang membolehkan kita mendapat juara pada tahun ini,” katanya.
Menurutnya, taman yang diketengahkan itu dikenali sebagai Laman Nur Seri Bachok dengan konsep ‘di mana alam dan imaginasi bertemu’, yang menggabungkan unsur alam, air, cahaya dan kreativiti.
Laman berkenaan menampilkan lapan elemen utama iaitu Gerbang Nur (Pintu ke Dunia Fantasi), Jejak Nur (Laluan Penerokaan), Rimba Fantasi Bachok (Komposisi Alam Tropika), Batu Nur Interaktif (Pertemuan Manusia, Alam dan Teknologi), Portal Nur dan Tirai Air (Keajaiban di Tengah Laman), Telaga Pantulan (Refleksi, Ketenteraman dan Kedalaman), Pohon Nur (Cahaya Kehidupan) serta Sarang Damai (Ruang Menghayati dan Berinteraksi).
Beliau memaklumkan, konsep tersebut dibangunkan bagi menggabungkan unsur alam, air, cahaya dan kreativiti dalam satu ruang yang memberikan pengalaman berbeza kepada pengunjung.
“Konsep kita adalah di mana alam dan imaginasi bertemu. Kita menggabungkan unsur-unsur alam, air, cahaya dan kreativiti,” jelasnya.
Menurutnya lagi, penyediaan taman tersebut mengambil masa tujuh hari dengan kerja-kerja dilakukan pada waktu siang dan malam, manakala kos yang terlibat adalah kira-kira RM30,000.
Pesta Flora Negeri Kelantan 2026 berlangsung selama empat hari bermula 24 hingga 27 September dengan tema ‘Alam Lestari, Komuniti Harmoni’.
Selain pertandingan landskap PBT, festival berkenaan turut menampilkan Pameran Landskap PBT, Pameran Bunga Ros, Pameran Paludarium dan Bromeliad serta Jualan Pameran Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan Florikultur.
Pengunjung turut berpeluang menyaksikan persembahan Wayang Kulit selain menyertai aktiviti cabutan bertuah dan kuiz sepanjang penganjuran festival.
















