Sultanah Kelantan berangkat rasmi Pesta Flora Negeri Kelantan 2026
-
24 September 2026
-
Oleh: Syamimi Manah
-
37
KOTA BHARU, 24 September - Duli Yang Maha Mulia Sultanah Kelantan Sultanah Nur Diana Petra Abdullah berangkat merasmikan Pesta Flora Negeri Kelantan 2026 yang berlangsung di Taman Perbandaran Tengku Anis, di sini, hari ini.
Pesta Flora Negeri Kelantan 2026 bertemakan ‘Alam Lestari, Komuniti Harmoni’ berlangsung selama empat hari bermula 24 hingga 27 September 2026, dengan pelbagai program dan aktiviti yang mengetengahkan keindahan flora serta usaha pelestarian alam.
Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassurudin Daud berkata, pelestarian alam perlu dilihat sebagai tanggungjawab bersama selaras dengan tuntutan Islam yang mendidik manusia mengurus nikmat dan amanah Ilahi sebagai khalifah di muka bumi.
“Usaha murni dalam memelihara dan memakmurkan alam ini juga bertepatan dengan tuntutan Islam yang sentiasa mendidik manusia agar menguruskan nikmat dan amanah Ilahi, di samping menjunjung prinsip kesinambungan dan kemaslahatan untuk generasi masa kini serta akan datang,” katanya.
Menurutnya, alam yang kaya dengan flora dan fauna merupakan anugerah Allah SWT yang perlu dipelihara dan dimakmurkan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab manusia kepada-Nya.
Beliau berkata, pelestarian alam yang dipelihara hasil daripada kesedaran dan tanggungjawab bersama akan memberikan manfaat besar kepada kehidupan serta kesejahteraan sejagat.
Katanya lagi, keprihatinan serta ketulusan Duli Yang Maha Mulia Sultanah Kelantan terhadap pelestarian dan kehijauan negeri menjadi sumber ilham dan teladan kepada rakyat untuk bersama-sama menjaga alam sekitar.
“Penganjuran festival ini memberi keyakinan yang amat penting kepada sekalian rakyat kerana di samping mengukuhkan keindahan dan kekayaan flora negeri Serambi Mekah, penganjuran ini turut menjadi platform untuk membudayakan rasa tanggungjawab dalam kalangan masyarakat agar alam dipelihara dan dimakmurkan secara berterusan selaras dengan amanah yang ditetapkan oleh syariat Islam,” ujarnya.
Menurut Menteri Besar Kelantan, Pesta Flora yang berlangsung selama empat hari itu merupakan antara program yang dirangka sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebesaran Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V yang ke-57 bagi memeriahkan suasana sambutan serta memperkukuh jalinan persaudaraan dalam kalangan rakyat.
Katanya lagi, festival berkenaan bukan sahaja mengetengahkan keindahan flora bahkan turut memperkasa industri berkaitan di negeri Kelantan dengan penyertaan pelbagai jabatan dan agensi.
“Tema Alam Lestari, Komuniti Harmoni yang diangkat pada festival ini amat bertepatan dengan hasrat untuk menghimpunkan seluruh lapisan masyarakat dalam satu wadah yang meraikan keindahan alam dan keharmonian kehidupan,” jelasnya.
Beliau memaklumkan, pelbagai acara dan penganjuran sepanjang festival menampilkan kekayaan flora negeri serta memperkukuh nilai perpaduan, kebersamaan dan semangat persaudaraan dalam kalangan rakyat.
“Menjadi harapan kita bersama agar nikmat perpaduan dan keharmonian yang diimpikan oleh Allah SWT pada negeri ini akan terus terpelihara, bahkan semakin kukuh dari semasa ke semasa,” ujarnya.
Beliau turut berharap penganjuran Pesta Flora Negeri Kelantan 2026 menjadi antara wahana yang menyuburkan semangat kebersamaan, sekali gus membina sebuah masyarakat yang hidup dalam suasana harmoni, makmur dan sejahtera serta saling hormat- menghormati.










