26 pelajar sertai pertandingan Paludarium sempena Pesta Flora Negeri Kelantan 2026
-
24 September 2026
-
Oleh: Asri Hamat
-
30
KOTA DARULNAIM, 24 September - Sebanyak 26 pelajar dari 13 sekolah menyertai pertandingan Paludarium anjuran Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Negeri Kelantan yang berlangsung sempena Pesta Flora Negeri Kelantan di Taman Perbandaran Tengku Anis, Tanjung Chat, Kota Bharu pada Rabu.
Pertandingan itu juga diadakan bersempena sambutan Hari Keputeraan KDYMM Sultan Muhammad V Ke-57.
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, berkata pertandingan berkenaan membabitkan tiga kategori iaitu Spark, Changer dan Bloom.
Katanya, inisiatif berkenaan berjaya mencungkil bakat dan kreativiti pelajar serta dapat mendekatkan generasi muda dengan dunia pertanian, landskap dan pemeliharaan alam sekitar.
"Syabas dan tahniah kepada MARDI Kelantan atas penganjuran pertandingan yang cukup menarik," katanya di media sosial, pada Rabu.
Beliau turut berharap program seumpama itu terus diperluaskan dan menjadi ruang untuk anak-anak meneroka ilmu serta mengembangkan bakat dalam bidang berkaitan pertanian dan kelestarian alam.
Terdahulu, beliau menyampaikan sijil kepada para pemenang pertandingan berkenaan di Taman Perbandaran Tengku Anis, Tanjung Chat, di sini.












