Belia perlu ruang bertemu, berkongsi pandangan dan bina jaringan – YB Zamakhshari
-
24 September 2026
-
Oleh: Syamimi Manah | Kredit foto: Media YB Zamakhshari
-
25
KOTA DARULNAIM, 24 September - Golongan belia perlu diberikan ruang untuk bertemu, berkongsi pandangan dan membina jaringan dalam suasana yang lebih santai bagi menggalakkan pertukaran idea serta membuka peluang kerjasama.
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad berkata, pendekatan sedemikian penting bagi membolehkan pihaknya mendengar pandangan serta memahami perkara yang sedang difikirkan oleh golongan belia.
Menurutnya, pertemuan tidak semestinya perlu diadakan atas urusan atau program rasmi, sebaliknya pertemuan secara santai juga boleh menjadi ruang untuk membina hubungan dalam kalangan anak muda.
“Bagi saya, sesi macam ni penting. Kadang-kadang kita nak jumpa bukan sebab ada urusan yang besar. Sekadar nak duduk semeja, borak dan kenal antara satu sama lain,” katanya di laman rasmi, semalam.
Terdahulu, beliau menghadiri program Leadership Latte yang berlangsung di Pusat Belia, di sini.
Menurutnya lagi, perbualan secara santai juga boleh membuka ruang kepada kemunculan idea baharu, selain membantu mengenal pasti perkara yang boleh dilaksanakan secara bersama.
“Daripada sembang santai macam inilah kadang-kadang datangnya idea.
“Kita dengar pandangan, kita tahu apa yang sedang difikirkan oleh belia dan kita nampak ruang yang boleh kita buat bersama,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan Leadership Latte diwujudkan sebagai ruang untuk alumni Kelantan Future Leaders Institute (KFLI) dan belia Kelantan bertemu, belajar, berkongsi serta membina jaringan dalam suasana yang lebih santai.
Tambahnya, jumlah alumni KFLI kini mencecah 803 orang yang terdiri daripada belia Kelantan yang pernah mengikuti platform pembangunan kepimpinan berkenaan.
Jelasnya, sesi berkenaan menghimpunkan alumni KFLI dan belia Kelantan untuk bertemu mata, berbual, bertukar cerita serta berkenalan antara satu sama lain.
YB Zamakhshari turut memaklumkan, pendekatan itu akan diteruskan dengan lebih banyak sesi yang boleh memberi ruang kepada anak muda untuk berkongsi idea dan terlibat dalam diskusi yang lebih berfokus.
“Bina hubungan dahulu, dengar dahulu, kemudian baru kita fikir apa yang boleh kita buat bersama,” ujarnya.









