Kebajikan warga emas Kelantan diperkukuh secara inter-agensi - YB Dato Rohani
-
24 September 2026
-
Oleh: Irham Hilmi Hashim
-
25
KOTA DARULNAIM, 24 September – Kebajikan dan kesejahteraan warga emas di Kelantan akan diperkukuh menerusi beberapa tindakan segera secara inter-agensi susulan Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Warga Emas Negeri Kelantan yang berlangsung semalam.
Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Dato Rohani Ibrahim berkata, usaha berkenaan penting berikutan Kelantan kini mempunyai sekitar 223,600 warga emas, termasuk 36,100 golongan berusia 80 tahun ke atas.
Menurutnya, Malaysia dijangka menjadi negara menua menjelang 2030, manakala Kelantan pula dijangka mencapai tahap negeri menua pada 2036, sekali gus memerlukan perhatian lebih menyeluruh terhadap kebajikan serta kesejahteraan golongan berkenaan.
“Menjadi tua adalah lumrah. Tetapi memastikan mereka dihormati, disayangi, sihat dan terjaga adalah tanggungjawab kita bersama, khususnya sebagai anak-anak dan anggota keluarga,” katanya menerusi media sosial pasca mesyuarat berkenaan di Mabna, Kota Darulnaim, semalam.
Katanya lagi, aspek kesihatan warga emas turut memerlukan perhatian, khususnya risiko seperti sarkopenia, frailty, demensia dan penyakit kronik yang semakin terdedah dalam kalangan golongan berkenaan.
Mesyuarat turut melibatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Kelantan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Ketua Jajahan, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (JAHEAIK), Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), U-KEKWA serta agensi dan urus setia berkaitan.










