Pendidikan perlu lahirkan generasi berilmu, sedia berkhidmat - YB Dato Wan Roslan
-
24 September 2026
-
Oleh: Irham Hilmi Hashim
-
29
KOTA DARULNAIM, 24 September – Pendidikan perlu dilihat lebih jauh daripada usaha memperoleh sijil dan membina kerjaya, sebaliknya menjadi amanah dalam mempersiapkan generasi berilmu untuk berkhidmat kepada Islam, ummah dan negeri.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, pendekatan tersebut penting dalam membentuk pelajar yang cemerlang dalam akademik dan mempunyai nilai serta tanggungjawab terhadap masyarakat.
Menurutnya, pelajar yang bakal melangkah ke alam pengajian tinggi perlu menjadikan disiplin, adab dan hubungan dengan Allah SWT sebagai asas dalam membentuk diri.
“Menuntut ilmu bukan sekadar untuk memperoleh sijil atau membina kerjaya, tetapi merupakan satu amanah untuk mempersiapkan diri berkhidmat kepada Islam, ummah dan negeri,” katanya menerusi media sosialnya selepas merasmikan Program Lambaian Menara Gading 2026 anjuran Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) di Gelanggang Seni, Kota Bharu, semalam.
Beliau menggariskan tiga perkara utama yang perlu diberi perhatian oleh pelajar ialah disiplin dalam pembelajaran, menjaga adab terhadap guru dan ibu bapa serta sentiasa memelihara hubungan dengan Allah SWT.
“Persediaan menuju menara gading sebenarnya bermula dari sekarang. Tanamkan cita-cita yang tinggi, tingkatkan penguasaan bahasa Arab, suburkan budaya membaca dan jangan sesekali takut untuk mempunyai impian yang besar,” katanya.
Program berkenaan memberi manfaat kepada 240 pelajar sebagai persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan seterusnya melangkah ke alam pengajian tinggi.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada MPKB-BRI khususnya Yang Dipertua MPKB-BRI Dato’ Zulkifli Abd Rahman serta para guru yang tidak pernah jemu mendidik dan membimbing pelajar.
Dato' Wan Roslan berharap para pelajar STAM memperoleh kejayaan cemerlang dan seterusnya menjadi generasi ilmuwan yang berakhlak mulia, luas pemikiran serta bersedia menyumbang kepada agama, masyarakat dan negeri Kelantan.














