MDKPI raih penarafan empat bintang, pertama di Kelantan
-
23 September 2026
-
Oleh: Asri Hamat
-
32
KOTA BHARU, 23 September - Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam (MDKPI) memperoleh penarafan empat bintang dalam Sistem Penarafan Bintang Pihak Berkuasa Tempatan (SPB-PBT) Tahun 2026.
Pencapaian itu menyaksikan MDKPI menduduki tempat pertama di Kelantan bagi kategori Majlis Daerah, selain berada pada kedudukan ke-14 di peringkat Malaysia dalam kategori sama.
MDKPI dalam hantaran di media sosial pada Isnin memaklumkan kedudukan di peringkat negeri dan kebangsaan itu menunjukkan peningkatan berbanding penilaian terdahulu.
Menurut MDKPI, keputusan penarafan tahun ini turut menjadi asas kepada pihaknya untuk menilai semula prestasi serta mengenal pasti aspek yang memerlukan penambahbaikan.
"Setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah diucapkan kepada Yang Dipertua, Ahli-ahli Majlis, pihak pengurusan serta seluruh warga kerja MDKPI atas sumbangan dan dedikasi yang telah diberikan.
"Pengiktirafan ini menjadi dorongan kepada MDKPI untuk terus meningkatkan kecekapan pentadbiran, mempertingkat mutu penyampaian perkhidmatan serta memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada masyarakat di kawasan pentadbiran Majlis," katanya.
MDKPI turut berharap pencapaian berkenaan menjadi dorongan kepada seluruh warganya untuk terus melaksanakan tanggungjawab dengan lebih baik demi kepentingan masyarakat di kawasan pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).








