Kelantan buka laluan anak negeri pelajari TVET hingga ke Eropah
-
23 September 2026
-
Oleh: Irham Hilmi Hashim
-
39
KOTA DARULNAIM, 23 September – Kerajaan Negeri Kelantan membuka laluan lebih luas kepada anak negeri mengikuti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sehingga ke peringkat antarabangsa menerusi pakej pendidikan bersepadu Akademi Cemerlang TecnoVocasX (ACTVX), termasuk peluang melanjutkan pengajian serta menimba pengalaman di Eropah.
Penasihat Utama merangkap Pengarah Projek Kelantan ACTVX Help TVET Sdn. Bhd. mewakili kerajaan negeri Dr Ahmad Zaharuddin Sani Sabri berkata, inisiatif itu menyediakan laluan pendidikan daripada Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) hingga diploma, kemudahan pembiayaan pengajian serta jaringan industri bagi membuka prospek kerjaya kepada graduan.
Menurutnya, ACTVX yang beroperasi di Padang Tembak, Pengkalan Chepa di bawah lesen Help Education Group turut menjalinkan kerjasama strategik dengan West College Scotland yang memberi pilihan kepada pelajar melanjutkan pengajian ke peringkat diploma.
“Pelajar mempunyai pilihan sama ada untuk mengambil sijil SKM atau melanjutkan pengajian ke peringkat Diploma daripada West College Scotland.
“Laluan ini turut membuka ruang kepada graduan untuk memohon pekerjaan dan menimba pengalaman baharu di Eropah sekiranya mereka berhasrat untuk berkhidmat di luar negara,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bersama institusi dan rakan industri, Memorandum Persefahaman (MoU) bersama DSR International Academy serta peluncuran laman web ACTVX yang disaksikan Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad di Mabna, Kota Darulnaim, hari ini.
Dr Ahmad Zaharuddin juga memaklumkan, ACTVX menawarkan pengajian SKM Tahap 2, 3 dan 4 serta peringkat diploma sebagai sebahagian daripada usaha menyediakan laluan pendidikan kemahiran yang lebih fleksibel kepada anak Kelantan.
Pada masa sama, aspek kemampuan mengikuti pengajian turut diberi perhatian menerusi kemudahan pinjaman Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK), manakala yuran pendaftaran pelajar Kelantan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri melalui agensi berwajib.
“Ini merupakan satu keistimewaan yang amat bernilai buat rakyat negeri Kelantan kerana para pelajar tidak perlu memikirkan yuran pendaftaran, selain mempunyai kemudahan pembiayaan pengajian melalui Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK),” jelasnya.
Tambahnya, pendekatan itu menghubungkan latihan TVET dengan keperluan sebenar pasaran pekerjaan melalui jaringan bersama rakan industri.
Kerjasama tersebut melibatkan Proton JM Otomobil yang diwakili Pengarahnya, Nur Aisyah Afreena Basri; Perodua PACCAR AUTO Sdn. Bhd. melalui pengarahnya, Muhammad Azim Razak, West College Scotland yang diwakili pengarahnya di Malaysia, Yong Yow Wee serta DSR International Academy melalui Pengarah Urusan Profesor Adjung Datuk Seri Abdul Rani Osman.
Jaringan industri itu dijangka menyediakan laluan kerjaya kepada pelajar selepas menamatkan pengajian, sekali gus merapatkan jurang antara latihan kemahiran dengan keperluan tenaga kerja industri.
“Pakej ini diwujudkan khusus untuk rakyat dan warga Kelantan dengan menggabungkan kemudahan pembiayaan pengajian, yuran pendaftaran serta peluang pekerjaan.
“Tiada kekhuatiran tentang yuran pengajian, tiada kerumitan tentang yuran pendaftaran dan terdapat laluan untuk mendapatkan pekerjaan,” jelasnya.
Jelasnya, model bersepadu itu menghubungkan pendidikan, latihan kemahiran, institusi antarabangsa dan industri dalam satu ekosistem TVET, sekali gus menyediakan lebih banyak pilihan kepada anak Kelantan untuk membina masa depan berasaskan kemahiran sama ada meneruskan kerjaya dalam negara atau mengembangkan pengalaman pendidikan dan profesional di Eropah.
Turut hadir, Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad.




















