Accessibility Tools

Skip to main content

Hasil perbincangan Halal Park Pasir Mas dibawa ke bengkel khas bersama TPM

  • 23 September 2026
  • Oleh: Norzana Razaly
  • 22

KOTA DARULNAIM, 23 September – Hasil perbincangan khas mengenai pengoperasian dan pemerkasaan Halal Park Pasir Mas akan dibawa ke peringkat lebih tinggi menerusi bengkel khas bersama Timbalan Perdana Menteri dalam tempoh terdekat.

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud berkata, langkah itu merupakan susulan penelitian terhadap beberapa laporan terkini berkaitan pembangunan Halal Park Pasir Mas termasuk usaha memperkasa sektor pelaburan halal di Kelantan.

“Laporan berkenaan insya Allah saya akan bawakan dalam bengkel khas bersama YAB Timbalan Perdana Menteri 1 dalam tempoh terdekat,” katanya menerusi media sosial pada Ahad.

Terdahulu, beliau mengadakan perbincangan khas bersama Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK), Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dan Majlis Daerah Pasir Mas di Mabna.

 

Menurutnya, perbincangan itu memberi tumpuan kepada laporan semasa berkaitan pengoperasian Halal Park Pasir Mas serta langkah pemerkasaan yang boleh dilaksanakan bagi mengembangkan potensi industri dan pelaburan halal di negeri ini.

Pertemuan melibatkan pelbagai agensi berkepentingan itu turut menjadi medan menyelaras pandangan, idea dan saranan berkaitan hala tuju pembangunan Halal Park Pasir Mas sebelum perkara berkenaan diketengahkan pada peringkat seterusnya.

YB Mohd Asri merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat atas perkongsian pandangan dan cadangan dalam usaha memperkasakan pembangunan industri halal di Kelantan.

Beliau optimis, langkah membawa hasil perbincangan berkenaan ke bengkel khas bersama Timbalan Perdana Menteri 1 YAB Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijangka membuka ruang kepada penyelarasan lebih menyeluruh antara Kerajaan Negeri Kelantan dan Kerajaan Persekutuan serta agensi berkaitan dalam mengoptimumkan potensi Halal Park Pasir Mas sebagai salah satu komponen pembangunan industri halal negeri.

Pautan berjaya disalin!