Kerajaan Negeri sedia jadi penghubung selesaikan isu penempatan Ladang Kerilla - Exco Perpaduan Masyarakat
-
22 September 2026
-
Oleh: Irham Hilmi Hashim
-
27
KOTA DARUL NAIM, 22 September — Kerajaan Negeri akan berperanan sebagai penghubung antara penduduk Ladang Kerilla, Tanah Merah dengan pihak berkaitan bagi membincangkan isu penempatan dan mencari jalan penyelesaian yang sesuai.
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad berkata demikian menerusi perkongsian di media sosialnya selepas menerima kunjungan wakil penduduk Ladang Kerilla yang diketuai Manivannan di Bilik Mesyuarat Utama, Kota Darulnaim, semalam.
Menurutnya, bagi penduduk yang telah lama menetap di kawasan berkenaan, khususnya golongan berusia, perpindahan ke penempatan baharu yang terletak lebih jauh bukan sesuatu yang mudah kerana Ladang Kerilla sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan dan sejarah komuniti setempat.
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, YB Zamakhshari Muhamad
“Di kawasan ini terdapat kuil serta tanah perkuburan yang telah berusia lebih 100 tahun. Setiap kali musim perayaan, anak-anak, saudara-mara dan keluarga yang berada di luar turut pulang berkumpul. Hubungan yang terbina sejak sekian lama menjadikan kawasan berkenaan amat dekat dengan kehidupan mereka,” katanya.
Walau bagaimanapun, YB Zamakhshari memaklumkan, sebagai Exco Perpaduan Masyarakat, beliau berpandangan setiap perkara yang menyentuh kehidupan komuniti perlu diberi ruang untuk dibincangkan dengan teliti dengan mengambil kira pandangan semua pihak.
“Susulan pertemuan ini, Insya Allah kita akan mengadakan perbincangan bersama pihak yang terlibat bagi meneliti perkara yang dibangkitkan dan mencari jalan penyelesaian yang sesuai. Semoga perbincangan seterusnya dipermudahkan dan membawa keputusan yang baik untuk semua,” jelasnya.












