Accessibility Tools

Skip to main content

25 penternak terima bantuan ternakan unggas 2026 bernilai RM196,018

  • 22 September 2026
  • Oleh: Asri Hamat
  • 30

KOTA BHARU, 22 September - Sebanyak 25 penternak menerima bantuan ternakan unggas menerusi Program Pemerkasaan Industri Ayam Kampung dan Program Pembangunan Industri Puyuh pada tahun ini.

Jumlah tersebut meningkat 31.58 peratus berbanding 19 penerima pada tahun 2025 yang merangkumi ternakan hidup, sangkar mudah alih untuk puyuh, inkubator, mesin pencabut bulu, bahan binaan reban serta bantuan dedak ternakan kepada penerima yang layak dengan implikasi kewangan berjumlah RM196,018.

Bantuan berkenaan disempurnakan oleh Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail dalam majlis Gimik Penyerahan Bantuan Penternakan Unggas dan Kursus Penternakan Ayam Kampung tahun 2026 di sebuah hotel, di sini, semalam.

Sehubungan itu, Dato' Tuan Mohd Saripudin berkata, bantuan itu bukan sekadar bertujuan meningkatkan pengeluaran, sebaliknya turut memberi tumpuan kepada usaha melahirkan penternak yang lebih berdaya saing, selain memperkemas pengurusan ladang, memperluas penggunaan teknologi dan mengukuhkan rantaian pemasaran.

Katanya, 25 penerima terbabit berpotensi untuk dikembangkan menjadi penternak ayam kampung yang berjaya dengan penambahbaikan kemudahan reban.

"Daripada 25 orang ini, kita mahu lihat siapa yang berpotensi dan mempunyai persiapan seperti tanah atau tapak yang lebih sesuai.

"Untuk tahun depan, saya mahu menyediakan bajet yang lebih besar sedikit supaya mereka yang mampu dapat menyediakan bekalan ayam kampung," katanya ketika berucap dalam majlis tersebut.

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail

Menurutnya, peruntukan di bawah Jabatan Veterinar ketika ini tidak terlalu besar, iaitu RM196,018, dan usaha sedang dirancang untuk melaksanakan projek yang lebih besar pada masa akan datang.

Katanya lagi, peserta kursus hari ini boleh mengemukakan kertas kerja bagi projek berfasa yang boleh merangkumi kemudahan seperti pusat penyembelihan, tempat memproses ayam dan kemudahan memerap ayam kampung.

"Saya mahu tuan-tuan boleh buat satu projek yang berfasa sehingga tuan-tuan boleh ada pusat menyembelih, tempat proses ayam dan kemudahan perap ayam kampung dan sebagainya," katanya.

Tambahnya, permintaan terhadap bekalan ayam kampung dari Kelantan amat memberangsangkan, termasuk daripada Kuala Lumpur.

Beliau juga memaklumkan, terdapat pemborong dari Pasir Puteh yang membeli ayam kampung daripada penduduk tempatan sebelum diproses dan dijual di Kuala Lumpur pada harga mencecah RM30 seekor atau RM15 sekilogram.

Dalam pada itu, beliau berkata, aspek ilmu dan kemahiran dalam bidang penternakan tidak harus diketepikan sebelum penerima melangkah lebih jauh dalam industri berkenaan.

"Justeru, saya melihat penganjuran kursus penternakan ayam kampung pada hari ini sebagai satu komponen yang sangat penting.

"Bantuan ternakan unggas tanpa ilmu mungkin tidak dapat memberikan hasil yang maksimum. Sebaliknya, apabila dipakejkan sekali dengan kursus yang bersesuaian, kita akan mempersiapkan diri dengan pengalaman penternakan yang lebih berkesan," jelasnya.

Beliau menegaskan, pendekatan itu penting bagi memastikan bantuan yang disalurkan dapat dimanfaatkan dengan lebih berkesan, selaras dengan usaha memperkukuh keupayaan penternak dalam industri ternakan unggas.

Hadir sama, Timbalan Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato' Shaari Mat Hussain, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan Dr Yahasmida Yaacob, Ketua Penolong Pengarah Kanan  Bahagian Pembangunan Industri Ternakan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Putrajaya Dr Mohd Razi Abdullah dan Ketua Bahagian Pembangunan Industri Ternakan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan Dr Siti Noorbainun Othman.

Pautan berjaya disalin!