Accessibility Tools

Skip to main content

APBN hargai usaha belia, tampilkan pemimpin muda

  • 21 September 2026
  • Oleh: Asri Hamat
  • 25

KOTA DARULNAIM, 21 September - Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) menjadi ruang menghargai pertubuhan dan individu yang aktif dalam pembangunan belia dan menampilkan pemimpin muda yang boleh menjadi inspirasi kepada generasi akan datang.

Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad berkata sebagai satu inisiatif di peringkat negeri, Kerajaan Negeri Kelantan turut memberikan saguhati kepada semua yang tampil bertanding sebagai penghargaan atas keberanian mencuba dan mengetengahkan usaha masing-masing.

"Saya sempat berpesan kepada belia-belia kita supaya lebih banyak mengetengahkan sisi positif anak muda Kelantan.

"Dalam masa yang sama, kita yang berada dalam komuniti sendiri perlu memainkan peranan," katanya menerusi media sosial, hari ini.

Katanya, usaha yang baik perlu dibantu dan digerakkan bersama, manakala sebarang kelemahan perlu diperbaiki secara bersama.

"Kalau ada usaha yang baik, kita bantu gerakkan. Kalau ada kelemahan, kita sama-sama perbaiki. Usahakan juga program yang benar-benar memberi impak dan manfaat kepada masyarakat," ujarnya.

Terdahulu, beliau menyerahkan cek saguhati pada Majlis Penyerahan Cek Saguhati Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) Peringkat Negeri Kelantan 2026 di Mabna MBI, Kompleks Kota Darulnaim, semalam.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua penerima dan peserta APBN 2026 serta menyeru mereka supaya terus bergerak, berkarya dan memberi manfaat kepada masyarakat.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Kelantan Saifuddin Zakaria serta pegawai-pegawai JBS Negeri Kelantan.

Pautan berjaya disalin!