Accessibility Tools

Skip to main content

Pondok Kandis antara enam sekolah rintis Transformasi Digital IPI

  • 21 September 2026
  • Oleh: Asri Hamat
  • 22

KOTA BHARU, 21 September - Pusat Pengajian Pondok Kandis, Bachok menjadi antara enam institusi terpilih sebagai sekolah rintis bagi Program Transformasi Digital Institusi Pendidikan Islam (IPI) menerusi kerjasama Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Lima institusi lain ialah Maahad Tarbiah Islamiah Derang, Pokok Sena, Kedah; Institut Ahmad Ibni Idris (SAIFI), Rembau, Negeri Sembilan; Pusat Pendidikan Ribath Al-Musthofa, Kuantan, Pahang; Pondok Darul Furqan, Ipoh, Perak; dan Maahad Ihya Ulumiddin, Mengkuang Titi, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato' Wan Roslan Wan Hamat berkata menerusi inisiatif itu, Pusat Pengajian Pondok Kandis dilengkapi kemudahan Digital Maker Hub (DMH) bernilai mencecah RM550,000.

Katanya, penyediaan kemudahan berkenaan membuka ruang lebih luas kepada pelajar dan guru untuk meneroka teknologi, selain memperkukuh proses pengajaran dan pembelajaran serta meningkatkan kemahiran inovasi.

"Inisiatif ini turut diperkukuh menerusi penganjuran Bengkel Latihan Program Rintis Digital IPI yang diterajui MDEC dengan kerjasama JAKIM pada 24 hingga 29 Julai bertempat di Pusat Pengajian Pondok Kandis.

"Bengkel tersebut memberikan pendedahan kepada guru dan murid menerusi modul latihan digital berimpak tinggi seperti Modul Kreativiti Digital & Aplikasi AI serta Modul Pembelajaran Imersif dan Inovasi Metaverse."

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Karnival STEM Peringkat Negeri Kelantan 2026 di Dewan Utama Tengku Kaya Pahlawan, Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji, di sini, semalam.

Kata Dato' Wan Roslan lagi,  menerusi bengkel itu, pelajar diberikan latihan berstruktur bagi mengasah pemikiran kritis dan kemahiran penyelesaian masalah.

Katanya, guru pula diperkasa menerusi program 'train-the-trainer' di bawah inisiatif Guru Juara Digital IPI bagi memimpin integrasi teknologi digital di sekolah secara berterusan.

"Ini membuktikan bahawa tradisi keilmuan Islam dan institusi pondok dapat terus diperkukuh menerusi pemanfaatan teknologi secara bijaksana dan berhemah," jelasnya.

Mewakili Kerajaan Negeri Kelantan, beliau merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas pemilihan Pusat Pengajian Pondok Kandis, Bachok sebagai salah satu daripada enam sekolah rintis bagi Program Rintis Pendigitalan Institusi Pendidikan Islam (Digital IPI) tersebut.

Pautan berjaya disalin!