Kelantan teliti potensi karbon kredit secara lestari
-
21 September 2026
-
Oleh: Asri Hamat
-
34
KOTA DARULNAIM, 21 September - Kerajaan Kelantan akan terus memperkukuh penyelarasan antara agensi bagi memastikan potensi karbon kredit di negeri itu dapat diteroka secara teratur dan berintegriti.
Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato' Dr Mohamed Fadzli Dato' Hassan berkata, langkah berkenaan penting dalam usaha membangunkan dan mengurus karbon kredit di negeri itu, termasuk memanfaatkan kekayaan hutan dan biodiversiti secara lestari.
Beliau berkata demikian menerusi media sosial pada Ahad selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Karbon Kredit Negeri Kelantan.
Menurutnya, mesyuarat berkenaan turut menerima pembentangan daripada Malaysia Forest Fund (MFF) iaitu agensi yang berperanan menerajui pembangunan dan pelaksanaan instrumen kewangan inovatif bagi sektor perhutanan.
"Perkongsian ini penting bagi melihat potensi yang ada di Kelantan, khususnya dalam memanfaatkan kekayaan hutan dan biodiversiti secara lestari, di samping membuka ruang kepada penjanaan nilai ekonomi melalui pasaran karbon," katanya.
Beliau memaklumkan, MFF turut membentangkan berkaitan pembangunan Forest Carbon Offset (FCO) sebagai sistem pengkreditan karbon sektor perhutanan di peringkat nasional.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri turut menantikan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN) yang bakal memperkukuh tadbir urus perubahan iklim negara termasuk aspek mitigasi, adaptasi, pelaporan serta aktiviti perdagangan karbon.
"Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh penyelarasan antara agensi dan memastikan potensi karbon kredit Kelantan dapat diteroka dengan pendekatan yang teratur, berintegriti dan memberi manfaat kepada negeri tanpa mengabaikan tanggungjawab kita dalam memelihara khazanah alam untuk generasi akan datang," jelasnya.










