Accessibility Tools

Skip to main content

Lebih 1,000 hadirin meriahkan Karnival Cakna Rakyat DUN Meranti

  • 20 September 2026
  • Oleh: Norzana Razaly
  • 55

PASIR MAS, 20 September – Lebih 1,000 hadirin daripada pelbagai lapisan masyarakat memeriahkan Karnival Cakna Rakyat DUN Meranti yang berlangsung di Madrasah Nasrullah, Pohon Buloh, di sini, semalam.

Bermula seawal pukul 8.00 pagi hingga 1.00 tengah hari, karnival anjuran Pusat Khidmat DUN Meranti itu menjadi medan menghimpunkan komuniti setempat menerusi pelbagai aktiviti kemasyarakatan, kebudayaan dan rekreasi yang mengeratkan hubungan antara rakyat dengan kepimpinan negeri.

Rekod pendaftaran menerusi kod QR mencatatkan kehadiran lebih 1,000 pengunjung sepanjang program berlangsung.

Antara tarikan utama ialah perbarisan melibatkan kontinjen mewakili sepuluh zon dalam DUN Meranti dengan mengetengahkan identiti, kreativiti dan semangat kebersamaan masyarakat setempat.

Zon 2 Mukim Meranti Kecil yang diketuai Penghulu Mohd Fadzli Muhamad muncul johan. Sementara Johan Pertandingan Khemah Tercantik bertemakan “Sedondon” ialah Zon 8 Mukim Bakong yang diketuai Penghulu Kamaruddin Che Ngah. 

Manakala penduduk dari Kampung Bayu Lalang, Maimun Mansor dipilih sebagai pemenang cabutan bertuah berupa sebuah motosikal.

Karnival turut dimeriahkan dengan sukan rakyat untuk pelbagai peringkat umur, persembahan kesenian dan kebudayaan, pameran agensi kerajaan, gerai jualan usahawan tempatan, pertandingan khemah bertemakan tradisional serta jamuan rakyat.

Turut mengambil bahagian ialah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Urus setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN), Perpustakaan Awam Cawangan Pasir Mas, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Di samping, Kolej Kemahiran Tinggi MARA, Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-KeKWa), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN-JEQ).

Kemeriahan program turut diserikan dengan kehadiran Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud bersama isteri Datin Panglima Perang Ustazah wan Nor Hanita Wan Yaakob yang beramah mesra dengan masyarakat.

Dato' Mohd Nassuruddin yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Meranti berkata, sifat cakna atau mengambil berat perlu bermula dalam keluarga sebelum diperluaskan kepada jiran dan masyarakat kerana manusia secara fitrahnya saling memerlukan.

Menurutnya, kehidupan bermasyarakat menuntut sikap saling membantu, bertolak ansur dan memahami keperluan orang lain, sebagaimana diwarisi daripada generasi terdahulu yang sanggup mewakafkan sebahagian tanah mereka untuk kegunaan bersama.

Beliau menjelaskan, penganjuran Karnival Cakna Rakyat bertujuan menyemai kesedaran supaya masyarakat lebih peduli terhadap keadaan sekeliling, selain memperkukuh ukhuwah dan semangat kebersamaan dalam komuniti.

“Nasi yang kita makan pun orang lain tanam, dapur dan sudip dibuat oleh orang lain. Maknanya, dalam hidup ini, kita berhajat kepada pertolongan orang lain.  Orang Islam dengan Muslim yang lain seperti sebuah bangunan yang kukuh,” tegasnya.

Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya memelihara tutur kata dan tidak menggunakan bahasa yang boleh menyakiti perasaan orang lain sebagai sebahagian daripada manifestasi sifat cakna sesama insan.

Katanya, nilai tersebut juga perlu diterapkan dalam pendidikan anak-anak supaya mereka membesar dengan rasa tanggungjawab terhadap keluarga dan masyarakat.

Beliau juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh urus setia, petugas, sukarelawan serta semua yang bertungkus-lumus menjayakan program tersebut.