Accessibility Tools

Skip to main content

Empat matlamat utama penganjuran Karnival STEM Kelantan 2026

  • 20 September 2026
  • Oleh: Asri Hamat
  • 78

KOTA BHARU, 20 September - Kerajaan Negeri Kelantan meletakkan empat matlamat utama dalam penganjuran Karnival Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) peringkat negeri bagi meningkatkan minat serta kesedaran terhadap kepentingan bidang berkenaan.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato' Wan Roslan Wan Hamat berkata matlamat berkenaan saling melengkapi dalam usaha memperkukuh pembangunan modal insan khususnya dalam kalangan generasi muda.

Menurutnya, matlamat pertama adalah meningkatkan minat dan kesedaran pelajar serta masyarakat terhadap kepentingan STEM yang perlu dipupuk sejak awal melalui pendekatan menyeronokkan dan dekat dengan kehidupan.

"Apabila anak-anak bertanya bagaimana sesuatu alat berfungsi atau mengapa sesuatu kejadian berlaku, pertanyaan itu perlu diraikan kerana daripada sifat ingin tahu itulah lahirnya keberanian untuk belajar, menguji idea dan menemukan pengetahuan baharu."

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutup Karnival STEM peringkat Negeri Kelantan 2026 di Dewan Utama Tengku Kaya Pahlawan Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji di sini, hari ini.

Karnival selama dua hari pada 19 dan 20 September dianjurkan oleh Bahagian Pengurusan Teknologi Maklumat, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan dengan kerjasama Yayasan Islam Kelantan (YIK), Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN) dan Kelantan ICT Gateway Sdn Bhd bertindak sebagai urus setia.

Matlamat kedua pula adalah meningkatkan kemahiran penyelesaian masalah dan inovasi dalam kalangan pelajar.

Katanya, kemahiran berkenaan dapat dibina apabila pelajar diberi peluang mengenal pasti masalah, menilai pilihan, mencuba penyelesaian dan memperbaiki hasil usaha.

"Secara tidak langsung, proses ini mengajar nilai kesabaran, kerjasama, ketelitian serta daya tahan," jelasnya.

Seterusnya, memperluas pendedahan generasi muda terhadap perkembangan teknologi terkini bagi memastikan mereka tidak terasing daripada gelombang teknologi masa hadapan.

"Perkembangan automasi, kecerdasan buatan (AI) dan digitalisasi perlu diberikan perhatian supaya generasi muda sentiasa bersedia mendepani landskap dunia yang serba pantas.

"Matlamat eempat adalah, kita mahu mencungkil dan mengetengahkan bakat generasi muda menerusi pertandingan dalam program Karnival STEM ini.

"Karnival seperti ini boleh menjadi platform penting untuk memberi pendedahan berkenaan perkembangan teknologi masa kini, sekali gus mengenal pasti bakat muda dalam bidang STEM," katanya.

Beliau juga menjelaskan, setiap anak mempunyai potensi berbeza sama ada dalam reka bentuk, pengaturcaraan, eksperimen mahupun pemikiran inovatif.

Justeru, bakat berkenaan wajar diberikan perhatian supaya minat yang berputik dapat berkembang menjadi kemahiran berimpak tinggi yang mampu menyumbang kepada pembangunan negeri serta menyokong hasrat kerajaan melahirkan modal insan berdaya maju.

Dalam perkembangan sama, Dato' Wan Roslan turut merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada tiga sekolah di bawah kelolaan Yayasan Islam Kelantan (YIK) yang mengukir kejayaan dalam pertandingan Malaysia Techlympics 2026 peringkat Zon Pantai Timur 2.0.

Pertandingan anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) itu berlangsung di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok pada 23 Ogos.

Sekolah berkenaan ialah Maahad Pengajian Islam yang muncul johan dalam acara AI Vibe Coding Drone dan naib johan dalam acara Cabaran Reka Bentuk 3D.

Maahad Muhammadi Perempuan pula memperoleh tempat kedua dalam acara Cabaran Robot Tempur, manakala Maahad Syamsul Maarif Lelaki memperoleh tempat ketiga dalam acara Cabaran FC-1 AI.

"Kita mahu buktikan bahawa pelajar agama bukan melahirkan agamawan semata-mata tetapi melahirkan agamawan yang mahir dalam pelbagai bidang," katanya.

Atas dasar tersebut katanya, kerajaan negeri mengambil langkah proaktif memperkukuh agenda pembangunan modal insan apabila memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Korea Aviation Technical Academy (KATA).

Tambahnya, kerjasama itu membuka peluang kepada pelajar negeri ini melanjutkan pengajian dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal di Republik Korea.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Pengurusan Teknologi Maklumat Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan Noraz Leley Muhamad, Pengurus Besar Kelantan ICT Gateway Sdn Bhd Zainul Amin Mat Zin dan Timbalan Pengarah Yayasan Islam Kelantan (Akademik) Sukeri Husin.