Pesta Flora Kelantan 2026 bakal tampilkan konsep interaktif bersama 100,000 pengunjung
-
20 September 2026
-
Oleh: Norzana Razaly
-
47
KOTA DARULNAIM, 20 September – Pesta Flora Negeri Kelantan 2026 tampil dengan konsep lebih interaktif apabila pengunjung berpeluang melihat, belajar, mencuba serta berinteraksi secara langsung menerusi pelbagai aktiviti sepanjang empat hari penganjurannya.
Pesta Flora Negeri Kelantan 2026 diadakan sempena Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V Ke-57 Tahun 2026 itu dijadualkan berlangsung pada 24 hingga 27 September di Taman Perbandaran Tengku Anis, Tanjung Chat, Kota Bharu.
Bertemakan “Alam Lestari, Komuniti Harmoni”, pesta itu dengan pengisian mesra keluarga yang menggabungkan elemen florikultur, landskap, pertanian, pendidikan, keusahawanan, kebudayaan dan rekreasi.
Sehubungan itu, Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd saripudin Tuan Ismail berkata elemen interaktif akan melibatkan para pengunjung menerusi Pertandingan Busana Flora Kreatif dan Inovatif Peringkat Sekolah Rendah, pertandingan melukis dan mewarna kanak-kanak, fotografi, kuiz serta pelbagai aktiviti yang membuka ruang penyertaan langsung.
Beliau menjangkakan purata 100,000 hadirin akan memeriahkan pesta tersebut.
Katanya lagi, penganjuran kali ini turut melibatkan pelbagai jabatan kerajaan, agensi, pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Selain penglibatan berpuluh agensi, sebanyak 83 reruai usahawan tempatan dijangka menjadikan pesta berkenaan sebagai platform mendekatkan masyarakat dengan keindahan alam serta memperluas pengetahuan mengenai tanaman hiasan dan florikultur.
“Antara tarikan utama ialah pameran landskap PBT bertemakan “Laman Fantasi”, pameran bunga ros, paludarium dan bromeliad, selain pertandingan fotografi dan video pendek serta pameran dan jualan produk usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan florikultur.
“Laman Unggas pula menjadi antara kelainan yang diperkenalkan tahun ini dengan menyediakan pameran unggas, pameran statik dan petting zoo, sekali gus menawarkan pengalaman lebih dekat dengan haiwan kepada pengunjung terutama kanak-kanak dan keluarga,” ujarnya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pesta Flora Negeri Kelantan 2026 bagi mengemas kini persiapan akhir program tersebut, di Bilik Gerakan Negeri, Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.
Menariknya, pesta berkenaan tidak terhenti pada waktu siang apabila sebahagian pameran dan aktiviti diteruskan sehingga pukul 11 malam, termasuk pameran landskap, bunga ros, paludarium dan bromeliad serta kegiatan usahawan IKS dan florikultur.
“Pengunjung turut berpeluang menikmati persembahan kebudayaan termasuk Dikir Barat dan wayang kulit, mengikuti Forum Perdana serta menyertai cabutan bertuah dan kuiz pada waktu tertentu sepanjang pesta berlangsung.
Majlis perasmian Pesta Flora Negeri Kelantan 2026 dijadual berlangsung pada 24 September, pukul 10 pagi dengan keberangkatan Yang Mulia Sultanah Kelantan untuk menyempurnakan perasmian,” jelasnya.
Majlis turut diserikan dengan persembahan tarian tradisional dan paluan rebana ubi sebelum pengunjung meneruskan kunjungan ke ruang pameran dan aktiviti yang disediakan.
Dato’ Tuan Mohd Saripudin mewakili Kerajaan Negeri Kelantan dan Jawatankuasa Induk Pesta Flora Negeri Kelantan 2026 turut mengundang seluruh masyarakat Kelantan serta pengunjung dari luar negeri untuk bersama-sama memeriahkan acara tersebut dan menghayati kepelbagaian khazanah flora serta aktiviti yang disediakan.








