Accessibility Tools

Skip to main content

Realiti Kelantan perlu dilihat berdasarkan keadaan sebenar – YB Zamakhshari

  • 20 September 2026
  • Oleh: Syamimi Manah
  • 53

KOTA DARULNAIM, 20 September - Realiti kehidupan masyarakat di Kelantan perlu dilihat berdasarkan keadaan sebenar di lapangan dan bukan semata-mata melalui persepsi yang terbentuk akibat perbezaan politik.

Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad berkata, persepsi terhadap Kelantan khususnya dalam kalangan mereka yang belum pernah berkunjung ke negeri itu kadang kala berbeza dengan keadaan sebenar yang dapat dilihat apabila berada sendiri dalam kalangan masyarakat.

“Bila berada di Kelantan, ia adalah tentang toleransi. Bila kita berpegang kepada Islam, antara prinsipnya ialah menghormati kaum lain dan menghormati agama lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi pertemuan bersama delegasi Asia Pacific Entrepreneurs Association (APEA), Selangor di Mabna, Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.

Delegasi APEA mengadakan lawatan ke Kelantan selama dua hari bermula 19 hingga 20 September bagi melihat sendiri keadaan serta potensi yang terdapat di negeri ini.

Pada 20 September, delegasi berkenaan turut melawat Pasar Pokok Pinang, Pasar Siti Khadijah, Wat Siam Tumpat, Pekan Cina dan Gerbang Zheng He.

Turut bersama dalam pertemuan berkenaan ialah Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Ramal YB Shafie Ngah dan Presiden Persatuan Usahawan Asia Pasifik (APEA) Dr Shawn Loh Sheng Nian.

YB Zamakhshari berkata, prinsip keadilan dalam Islam turut menjadi asas penting dalam hubungan masyarakat termasuk dalam menjaga hak dan menghormati masyarakat bukan Islam.

Beliau turut berkongsi pengalamannya bertemu dengan masyarakat yang berasal dari negeri lain namun memilih untuk menetap di Kelantan, sekali gus menunjukkan bahawa gambaran terhadap negeri itu tidak semestinya seperti yang sering dipersepsikan.

“Menariknya, saya sudah bertemu ramai dalam kalangan mereka yang berada di Kelantan, bukan berasal dari Kelantan, tetapi dari Perak, Pulau Pinang dan negeri lain. Mereka memilih untuk tinggal di Kelantan,” ujarnya.

Menurutnya lagi, masyarakat perlu melihat sendiri keadaan di Kelantan sebelum membuat penilaian kerana terdapat perbezaan antara persepsi dengan realiti yang berlaku di lapangan.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, keadaan ekonomi Kelantan juga perlu dilihat dengan mengambil kira sejarah pembangunan dan faktor infrastruktur yang menjadi antara perkara penting dalam menentukan perkembangan ekonomi sesebuah negeri.

Beliau juga memaklumkan, kemudahan asas termasuk lapangan terbang, pelabuhan dan jalan raya merupakan antara aspek yang mempunyai kaitan dengan perkembangan ekonomi negeri.

"Perkembangan semasa termasuk penambahbaikan hubungan pengangkutan membuka ruang lebih luas kepada peluang ekonomi, pelancongan dan perniagaan di Kelantan.

"Penerbangan terus dari Kota Bharu ke Jakarta yang baru beroperasi lebih sebulan turut menunjukkan wujudnya peluang baharu untuk mengembangkan hubungan ekonomi dan pelancongan.

“Maknanya peluang ekonomi itu sangat baik. Cuma kita perlu tunggu impak daripada perkembangan ini berlaku,” jelasnya.

YB Zamakhshari turut menyentuh potensi pelancongan perubatan sebagai antara ruang ekonomi yang boleh diteroka, selain memberi perhatian kepada pembangunan usahawan khususnya golongan digitalpreneur.

Tambahnya, keusahawanan digital mempunyai kelebihan kerana tidak terlalu bergantung kepada kemudahan logistik fizikal, sebaliknya memerlukan capaian internet dan membuka ruang kepada lebih ramai anak muda untuk terlibat dalam aktiviti ekonomi.