Accessibility Tools

Skip to main content

Dato’ Rohani rakam tahniah, Dasar Wanita Kedah berjaya dilancarkan

  • 20 September 2026
  • Oleh: Syamimi Manah
  • 59

KOTA DARULNAIM, 20 September – Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan YB Dato’ Rohani Ibrahim merakamkan ucapan tahniah kepada Kerajaan Negeri Kedah atas kejayaan melancarkan Dasar Wanita Kedah.

Beliau berkata, usaha serius bagi merealisasikan dasar berkenaan telah dimulakan sejak tahun 2023 sebelum berjaya disempurnakan dengan jayanya.

“Tahniah kepada Kerajaan Negeri Kedah atas kejayaan pelancaran Dasar Wanita Kedah, hari ini.

“Usaha yang telah dimulakan secara serius bermula tahun 2023 telah disempurnakan pada hari ini dengan jayanya,” katanya di laman rasmi, pada Khamis.

Majlis pelancaran Dasar Wanita Kedah itu disempurnakan oleh Menteri Besar Kedah YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor di Dewan Seri Mentaloon, Kedah pada 17 September.

Menurut Dato’ Rohani, Dasar Wanita Kedah turut mempunyai keistimewaan apabila diinspirasikan daripada Dasar Wanita Kelantan dan Dasar Wanita Terengganu yang telah disiapkan lebih awal.

Beliau berkata, kolaborasi strategik antara negeri-negeri SG4 itu merupakan satu natijah positif demi kesejahteraan rakyat, khususnya golongan wanita.

“Saya syukur dan bangga dapat bersama dalam majlis pelancaran yang telah disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Kedah” ujarnya.

Dalam pada itu, Dato’ Rohani berkata beliau hadir mewakili Kerajaan Negeri Kelantan bersama Timbalan Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan YB Nor Asilah Mohamed Zin, Pengarah Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-KeKWa) Ilvira Mohd Dasuki.

Turut hadir, wakil Negeri Terengganu dan Perlis selaku delegasi SG4.

Dato’ Rohani turut merakamkan penghargaan kepada YB Dato’ Halimaton Saadiah Saad selaku Exco yang bertanggungjawab serta seluruh pasukan pengkaji dan penggubal yang terlibat dalam merealisasikan Dasar Wanita Kedah.

Beliau berharap misi ‘Wanita Berdaya, Kedah Sejahtera’ yang menjadi asas dasar berkenaan terus mendapat keberkatan dan memberi manfaat kepada golongan wanita.