Accessibility Tools

Skip to main content

PFKB buka ruang bakat muda berkarya - YB Zamakhshari

  • 20 September 2026
  • Oleh: Asri Hamat
  • 57

KOTA DARULNAIM, 20 September - Penganjuran Pesta Filem Kota Bharu (PFKB) 2026 berperanan sebagai platform kepada bakat muda untuk terus berkarya di bumi sendiri di samping memartabatkan seni perfileman, mengangkat cerita dan budaya Kelantan, kata Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad.

Menurutnya, apa yang menarik penyertaan dalam PFKB tidak terhad kepada satu kelompok umur, sebaliknya menghimpunkan anak muda dengan idea dan perspektif baharu serta generasi lebih dewasa yang membawa pengalaman dan pandangan lebih matang.

"Lebih penting, PFKB turut membuka ruang untuk karya Kelantan dikenali di luar negeri, termasuk menarik perhatian penggiat dan pengkritik filem dari luar Kelantan," katanya menerusi hantaran di media sosial, pada Sabtu.

Beliau memaklumkan, penganjuran berkenaan turut menyediakan ruang untuk bakat diasah, selain membolehkan pengkarya menonjolkan kreativiti dan cara bercerita, bertukar idea serta membina jaringan dengan pemikir dan penggiat kreatif lain.

Tambahnya, cerita mengenai Kelantan sebenarnya luas dan merangkumi budaya, makanan, masyarakat serta kehidupan seharian yang mempunyai pelbagai kisah untuk diketengahkan.

"Setiap karya pula mempunyai nilai dan mesejnya tersendiri," jelasnya.

Terdahulu, beliau hadir ke Majlis Perasmian Pesta Filem Kota Bharu (PFKB) 2026 di Persatuan Hokkien Huay Kuan Kelantan, di sini, semalam.

Ujarnya, penganjuran PFKB di Persatuan Hokkien Huay Kuan Kelantan juga menjadi simbol yang baik di mana seni boleh dinikmati dan dihargai merentasi latar masyarakat.

Beliau berharap PFKB terus berkembang sebagai platform anak muda berkarya, memperkukuh ekosistem industri kreatif tempatan dan membawa lebih banyak cerita dari Kelantan kepada dunia.

"Kelantan bukan kekurangan cerita. Yang kita perlukan ialah lebih banyak ruang untuk menceritakannya," katanya.