190 pelajar DUN Guchil terima sumbangan IPTA
-
17 September 2026
-
Oleh: Syamimi Manah
-
43
KUALA KRAI, 17 September - Sebanyak 190 pelajar dalam Dewan Negeri (DUN) Guchil menerima Sumbangan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Fasa 1 sebagai tanda sokongan dan galakan kepada mereka yang bakal melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Guchil YB Hilmi Abdullah berkata, sumbangan berkenaan diberikan kepada pelajar yang telah menerima tawaran untuk menyambung pengajian di universiti serta institusi pengajian tinggi.
“Sumbangan ini diberikan kepada para pelajar yang telah menerima tawaran untuk menyambung pengajian di universiti serta institusi pengajian tinggi. Mudah-mudahan bantuan yang tidak seberapa ini dapat meringankan sedikit beban persediaan pelajar dan keluarga sebelum memulakan kehidupan sebagai mahasiswa,” katanya di laman rasmi, semalam.
Beliau turut menasihatkan semua penerima supaya memanfaatkan peluang melanjutkan pengajian dengan penuh kesungguhan, disiplin dan istiqamah.
Menurutnya, peluang berada di universiti perlu digunakan untuk membina ilmu, kemahiran, pengalaman serta sahsiah yang baik.
“Ingatlah, mendapat tempat di universiti bukanlah penghujung perjalanan, sebaliknya permulaan kepada satu fasa baharu yang lebih mencabar,” ujarnya.
YB Hilmi berharap para pelajar dapat menamatkan pengajian dengan jayanya sebelum kembali menyumbang kepada keluarga, masyarakat, negeri dan negara.
Katanya, kejayaan memperoleh diploma atau ijazah kelak juga diharapkan menjadi hadiah bermakna buat ibu bapa dan keluarga yang banyak berkorban serta memberikan sokongan kepada mereka.
Sementara itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Ahli Parlimen Kuala Krai YB Abdul Latiff Abdul Rahman yang hadir mewakili beliau bagi menyempurnakan penyampaian sumbangan tersebut.
Beliau turut menghargai komitmen Timbalan Pengarah Pusat Khidmat DUN Guchil Ghazali Mat, Setiausaha Pusat Khidmat DUN Guchil Ahmad Farid Mohd Kassim, para penghulu serta seluruh kakitangan Pusat Khidmat DUN Guchil yang memastikan program berjalan lancar.
Beliau berkata, usaha membantu pendidikan anak-anak DUN Guchil akan terus diberi perhatian kerana ilmu dan pendidikan merupakan pelaburan penting untuk masa depan generasi muda.
“Selamat melangkah ke alam kampus. Belajarlah bersungguh-sungguh, jaga nama baik keluarga dan jadilah kebanggaan DUN Guchil,” jelasnya.










