Remaja perlu hayati solat dengan kesedaran, bukan paksaan – YB Mohd Asri
-
17 September 2026
-
Oleh: Syamimi Manah | Kredit foto: Media YB Ustaz Asri Daud
-
49
KOTA BHARU, 12 September - Golongan remaja perlu dibimbing untuk memahami dan menghayati solat dengan kesedaran serta keikhlasan supaya ibadah tersebut dapat diamalkan dengan sempurna dalam kehidupan seharian.
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud berkata, kefahaman yang tepat berkaitan solat penting bagi memastikan golongan muda dapat melaksanakan ibadah berkenaan dengan rukun dan bacaan yang betul.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan penutupan Kem Solat Remaja Masjid Al-Ihsan Mukim Mentuan yang berlangsung selama dua hari pada 11 dan 12 September.
Program anjuran Bahagian Dakwah Halaqat, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) dengan kerjasama Masjid Al-Ihsan Mukim Mentuan itu disertai sebanyak 70 peserta.
Menurut YB Mohd Asri, Kem Solat Remaja dan Membina Generasi Solat merupakan program yang diadakan di seluruh DUN bagi memastikan pelaksanaan solat dilakukan dengan sempurna.
“Kem Solat Remaja dan Membina Generasi Solat adalah program yang diadakan di seluruh DUN bagi memastikan pelaksanaan solat sempurna dan dengan rukun serta bacaan yang tepat,” katanya di laman rasmi pada Sabtu lalu.
Program tersebut turut memberi penekanan kepada kefahaman mengenai panduan dan kepentingan solat berdasarkan hadis-hadis Rasulullah SAW, selain membimbing peserta supaya memahami, menghayati dan mempraktikkan ibadah berkenaan dalam kehidupan.
Pada hari pertama, peserta mengikuti ceramah Kesempurnaan Bersuci yang disampaikan Ustaz Muhammad Yusuf Hasani dan Kesempurnaan Solat oleh Ustaz Ahmad Izzat Irfan Izani.
Manakala pada hari kedua, pengisian diteruskan dengan ceramah Syarat Sah Solat Berjemaah oleh Ustaz Abdullah Hussin serta ceramah Masbuq, Muafiq dan Permasalahannya oleh Ustaz Ahmad Shairazi Atiqullah.
Peserta turut mengikuti latihan praktikal wuduk, amali solat dan bengkel bagi melengkapkan pengisian secara teori dan amali sepanjang kem berkenaan.
YB Mohd Asri turut merakamkan penghargaan kepada Bahagian Dakwah Halaqat dan JAHEAIK serta berterima kasih kepada Masjid Al-Ihsan Mukim Mentuan sebagai tuan rumah kem kali ini.
“Semoga seluruh rakyat di Negeri Kelantan sempurna laksana solat fardhu dengan kaifiat yang sahih,” ujarnya.














