Kelate Mega Fun Run Himpun lebih 4,000 peserta, jayakan larian 4.2 km
-
16 September 2026
-
Oleh: Syamimi Manah
-
42
KOTA BHARU, 16 September - Lebih 4,000 peserta memeriahkan Kelate Mega Fun Run 2026 yang berlangsung sejauh 4.2 kilometer (km) di pekarangan AEON Mall Kota Bharu, hari ini.
Program berkenaan menghimpunkan masyarakat daripada pelbagai lapisan usia dalam aktiviti riadah yang turut mengetengahkan elemen kekeluargaan, kesihatan dan patriotik sempena sambutan Hari Malaysia.
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad berkata, sambutan menggalakkan itu membuktikan rakyat Kelantan mempunyai minat tinggi terhadap aktiviti sukan.
“Program ini membuktikan sukan bukan sekadar pertandingan atau mengejar kemenangan, tapi menyatukan masyarakat pelbagai lapisan usia.
“Berjalan, berjoging kita dapat lahirkan masyarakat yang aktif. Sukan bukan sahaja untuk atlet tetapi untuk semua,” katanya ketika merasmikan Kelate Mega Fun Run 2026, hari ini.
Menurutnya, program komuniti seperti itu penting bagi memberi ruang kepada masyarakat mengeratkan hubungan dalam kesibukan bekerja, selain membina disiplin, daya tahan dan semangat berkumpulan menerusi aktiviti sukan.
Katanya, penganjuran Kelate Mega Fun Run turut membawa simbolik sempena Hari Malaysia sebagai tanda semangat bersama dalam menjaga negara.
“Larian hari ini simbol kita bergerak menjaga negara kita. Melalui sukan kita bina disiplin, daya tahan dan semangat berkumpulan,” ujarnya.
YB Zamakhshari berkata, kerajaan negeri mahu lebih banyak program sukan berkualiti diadakan di Kelantan sebagai tarikan kepada masyarakat Kelantan dan peserta luar.
Beliau berkata, penganjuran KB Half Marathon sebelum ini turut berjaya menarik penyertaan dari luar negara dan negeri.
“Insya Allah program ini kita akan jadikan acara tahunan dan saya mengharapkan penyertaan lebih besar daripada pelbagai lapisan masyarakat,” ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Negeri Kelantan Dato’ Azi Rahimie Mohamed berkata, penganjuran program berkenaan mencerminkan minat tinggi rakyat Kelantan terhadap aktiviti bersukan dan program bersama masyarakat.
Menurutnya, Kelate Mega Fun Run mengetengahkan elemen kesukanan dan menggabungkan aspek kekeluargaan, kesihatan dan patriotik.
“Kerajaan negeri sentiasa meletakkan sukan sebagai wadah penting dalam pembentukan masyarakat,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan.
















