Program Kuliah Duha pupuk integriti penjawat awam – YB Mohd Asri
-
15 September 2026
-
Oleh: Syamimi Manah
-
53
KOTA DARULNAIM, 15 September - Program Solat dan Kuliah Duha yang dilaksanakan secara bulanan di Kompleks Kota Darulnaim menjadi antara medium pengisian kerohanian dalam memupuk jiwa yang bersih dan integriti dalam kalangan penjawat awam.
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud berkata, program kelolaan Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (PSM) Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan itu turut mengingatkan penjawat awam supaya sentiasa beringat dengan tuntutan syariat ketika melaksanakan tugasan.
“Program sunat Duha beserta tazkirah kepada penjawat awam adalah program bulanan yang telah ditetapkan.
“Ia bertujuan bagi membangunkan jiwa suci lagi berintegriti dalam tugasan serta sentiasa beringat dengan tuntutan Syariat,” katanya di laman rasmi selepas program berkenaan, pada Ahad.
Dalam tazkirah berkenaan, YB Mohd Asri turut memfokuskan kepada konsep kekayaan sebenar yang bukan hanya diukur melalui harta dan wang ringgit, sebaliknya ganjaran kebaikan yang diperoleh melalui amalan soleh.
Menurutnya, kekayaan dunia boleh mengalami turun naik, termasuk dipengaruhi keadaan pasaran saham, namun ganjaran pahala hasil amalan kebaikan mempunyai nilai yang lebih besar.
“Islam telah mengajar erti kekayaan yang tidak pernah menurun jika kita sudah memperolehi ganjaran dan ia lebih hebat daripada ganjaran atau wang ringgit yang tersimpan.
“Satu sahaja kebaikan yang dilakukan ia sudah bersamaan 10 gandaan bahkan 700 bahkan lebih daripada itu mengikut kadar keikhlasan kita,” ujarnya.
Beliau turut berkongsi contoh amalan membaca zikir tertentu sebanyak 100 kali sehari sebagai antara amalan yang boleh dilakukan bagi memperoleh ganjaran pahala.
Katanya, amalan membaca tiga surah iaitu al-Ikhlas, al-Falaq dan al-Nas atau tiga Qul secara konsisten juga merupakan antara amalan yang boleh diamalkan dalam kehidupan seharian.
YB Mohd Asri berkata, amalan yang dilakukan secara berterusan bersama amalan soleh lain mampu menjadi bekalan berharga kepada umat Islam untuk memperoleh kekayaan di dunia dan akhirat.
“Bayangkan jika kita membacanya berterusan sehingga bertahun-tahun dengan amalan lain lagi, kita akan dapat mengumpulkan kekayaan lebih daripada Elon Musk, Larry Page dan Robert Kuok. Kita kaya di dunia dan kaya di akhirat, insya Allah,” ujarnya.












