Susulan permintaan Exco Perumahan, RAC tangguh perobohan hingga akhir 2026
-
15 September 2026
-
Oleh: Irham Hilmi Hashim
-
49
KOTA DARULNAIM, 15 September – Perbadanan Aset Keretapi (RAC) bersetuju menangguhkan sementara kerja perobohan kediaman penduduk di sepanjang landasan kereta api di Kelantan sehingga akhir 2026 susulan permintaan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah.
Seminggu lalu, beliau berjanji untuk membawa suara penduduk yang terkesan dengan notis pengosongan kediaman di atas tanah RAC dan memohon supaya tempoh pengosongan dipertimbangkan semula demi kebajikan penghuni terlibat.
Persetujuan itu dicapai selepas beliau mengadakan pertemuan dengan Pengerusi RAC merangkap Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Malaysia, Dato’ Seri Jana Santhiran Muniayan di Putrajaya, hari ini.
YB Hilmi memaklumkan, pertemuan tersebut antara lain membincangkan pengeluaran notis perobohan bagi memberi laluan kepada kerja penstabilan dan pembentukan semula cerun di sepanjang landasan kereta api di Kelantan, khususnya melibatkan penduduk di DUN Guchil, Kuala Krai.
“Terima kasih diucapkan kepada pihak RAC atas persetujuan untuk menangguhkan sementara kerja-kerja yang sedang berjalan sehingga berakhir tahun 2026 ini,” katanya menerusi media sosial, hari ini.
Menurutnya, penangguhan itu memberi ruang kepada pihak berkaitan untuk meneliti penyelesaian yang lebih menyeluruh, terutama bagi memastikan kebajikan penduduk terjejas dan golongan rentan diberikan perhatian sewajarnya.
RAC turut bersetuju mempertimbangkan beberapa permohonan tambahan berkaitan kebajikan golongan yang paling terkesan dengan perobohan termasuk orang kurang upaya (OKU), pesakit kronik, ibu tunggal yang mempunyai anak kecil, warga emas dan golongan daif.
“Sekalipun mereka berjaya menemui rumah untuk disewa, golongan rentan ini masih tidak akan mampu menyediakan wang untuk membayar deposit sewa rumah tersebut kerana kesemua mereka terpaksa bergantung penuh kepada bantuan sara hidup daripada JKM ataupun MAIK,” jelasnya.
Sehubungan itu, YB Hilmi mencadangkan RAC melaksanakan Penilaian Impak Sosial (SIA) serta mengadakan libat urus bersepadu bersama Pejabat Tanah dan Jajahan, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) serta pemimpin setempat.
Katanya lagi, langkah tersebut penting bagi mencari mekanisme penyelesaian yang dapat meminimumkan kesan sosial terhadap penduduk sebelum sebarang tindakan seterusnya dilaksanakan.
“Sekalipun semua proses, tatacara dan notis adalah teratur dan memenuhi peruntukan undang-undang, namun unsur belas ihsan, empati dan kemanusiaan perlu ada dalam isu perobohan ini supaya ia dapat diselesaikan secara harmoni dengan meminimumkan impak sosial kepada masyarakat setempat,” ujarnya.
Dalam pada itu, YB Hilmi turut mengundang RAC menghantar wakil ke sesi pertemuan dan penerangan bersama penduduk terlibat yang dicadangkan berlangsung pada 19 September, pukul 2.30 petang di Dewan KESEDAR, Kuala Krai.










