MAIK sumbang zakat RM2000, elaun tetap RM400 kepada Jen Endoro
-
15 September 2026
-
Oleh: Asri Hamat
-
81
Foto: FB MAIK
KOTA BHARU, 15 September - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menyampaikan sumbangan rawatan perubatan sebanyak RM2,000 serta Bantuan Tetap Bulanan RM400 sebulan kepada lagenda dikir barat Mohd Zain Ismail atau lebih dikenali sebagai Jen Endoro.
Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Timbalan Yang Dipertua MAIK Dato’ Mohd Anis Hussein ketika menziarahi Jen Endoro di rumah tumpangannya di Kota Jembal, di sini, semalam.
Jen Endoro kini terlantar selepas diserang strok dan tidak lagi mampu berdiri di pentas untuk menghiburkan masyarakat seperti suatu ketika dahulu.
Beliau yang pernah menceriakan panggung serta menghidupkan seni budaya Kelantan, kini memerlukan penjagaan sepenuh masa.
Anak-anaknya bergilir-gilir menjaga beliau, manakala bagi meneruskan kehidupan, Jen Endoro menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan serta pencen ilat RM228 sebulan.
Bagaimanapun, pencen berkenaan digunakan untuk membayar hutang kenderaan.
Dalam keadaan terlantar, perbelanjaan susu, lampin pakai buang dan keperluan perubatan pula mencecah kira-kira RM1,000 sebulan.
Ada kalanya keperluan berkenaan tidak dapat ditampung sepenuhnya dan keluarga terpaksa mengharapkan bantuan daripada anak-anak.
MAIK dalam kenyataannya memaklumkan, sumbangan berkenaan disampaikan bagi membantu meringankan beban Jen Endoro sekeluarga.
Ziarah tersebut turut disertai Setiausaha MAIK Muhamad Rasani Ramli, Pegawai Agihan Zakat MAIK Siti Farahida Fauzi serta Pegawai Komunikasi Korporat MAIK Muhamad Firdaus Mat Rahim.
{eurl_share}








