Accessibility Tools

Skip to main content

Bekas tapak pasar Machang dirancang jadi dewan terbuka

  • 15 September 2026
  • Oleh: Irham Hilmi Hashim
  • 84

KOTA DARULNAIM, 15 September – Bekas tapak Pasar Besar Bandar Machang dirancang untuk menjadi dewan terbuka berkeluasan lantai dianggarkan 55,000 kaki persegi.

Dewan itu dijangka mampu menampung lebih 2,000 orang pada satu-satu masa, sekali gus berpotensi menghidupkan semula aktiviti ekonomi di bandar lama Machang.

Perkara itu dinyatakan oleh Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah selepas membuat tinjauan ke tapak berkenaan bersama Yang Dipertua Majlis Daerah Machang Mohd Zamri Ibrahim, semalam.

Menurut YB Hilmu, apabila siap kelak, dewan terbuka itu akan dibuka sebagai tapak karnival, pameran dan jualan kepada usahawan industri kecil dan sederhana (IKS), selain sesuai digunakan bagi penganjuran program keagamaan dan ilmiah.

“Bermula Julai 2026, tapak Pasar Besar ini telah dikosongkan apabila semua peniaga dipindahkan ke Bandar Baru Sri Mentara bersebelahan Jalan Besar Kuala Krai–Kota Bharu, yang menawarkan ruang dan kemudahan lebih selesa serta luas dengan suasana baharu,” katanya menerusi hantaran media sosialnya pada Isnin.

Tambahnya, Pasar Besar Machang di bandar lama menyimpan pelbagai nostalgia sejak dibina pada tahun 1970-an dan telah banyak menyumbang kepada ekonomi serta sumber rezeki peniaga kecil di Jajahan Machang.

“Pembinaan dewan terbuka ini diharapkan dapat mengembalikan semula sumbangan dan kegemilangan tapak asal pasar ini dalam membantu ekonomi peniaga serta penduduk di bandar lama Machang,” ujarnya.

{eurl_share}