AKSB agih Zakat Waad kepada 100 asnaf sekitar Kota Bharu
-
14 September 2026
-
Oleh: Asri Hamat
-
30
KOTA BHARU, 14 September - Sebanyak 100 asnaf terdiri daripada golongan fakir dan miskin menerima agihan Zakat Waad daripada Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) menerusi pemilihan yang dikenal pasti melalui masjid-masjid terpilih di sekitar Kota Bharu.
Agihan itu membabitkan 20 asnaf di setiap masjid iaitu Masjid Sultan Muhammad II, Telipot, Masjid Sultan Mansor, Kampung Sireh, Masjid D’Raja Long Yunus (Masjid Diraja), Langgar, Masjid Jamek Muhammadi Kota Bharu dan Masjid As-Solihin Mukim Paya Rambai, Kota Bharu.
Setiap penerima menerima RM200 yang disampaikan Ketua Jabatan Korporat AKSB Milawati Mohd Nawi pada 9 dan 10 September.
Pihak AKSB berharap agihan zakat berkenaan dapat memberi manfaat serta meringankan beban penerima.
Dalam perkembangan lain, AKSB turut melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pintu Geng pada 10 September lalu dalam usaha meningkatkan kesedaran pelajar terhadap kepentingan alam sekitar dan sumber air.
Program itu memberi pendedahan kepada pelajar mengenai aspek Environmental, Social & Governance (ESG) berkaitan sumber air serta kepentingan penggunaan air terawat yang disampaikan Ketua Unit Komunikasi Korporat dan Pentadbiran AKSB, Hazwan Hassan.
Pendedahan itu penting dalam membentuk kefahaman pelajar mengenai hubungan antara kelestarian alam sekitar dengan kehidupan seharian, termasuk keperluan menghargai dan menggunakan sumber air secara berhemah.
Bagi warga SMK Pintu Geng, program berkenaan turut menjadi ruang pembelajaran bermakna di luar bilik darjah apabila pelajar berpeluang memahami isu pengurusan sumber air melalui perkongsian dan penerangan daripada pihak AKSB.
Pendekatan berkenaan selari dengan usaha sekolah membentuk generasi yang berpengetahuan, mempunyai kesedaran dan tanggungjawab terhadap alam sekitar serta masyarakat.
Pihak AKSB berharap Inisiatif itu dapat menyemai kesedaran dalam kalangan pelajar SMK Pintu Geng untuk menjadi pengguna air yang bertanggungjawab serta memainkan peranan dalam memelihara kelestarian sumber air untuk generasi akan datang.








