Accessibility Tools

Skip to main content

Majlis Daerah Machang raih tiga anugerah, catat pencapaian 4 bintang PBT Cemerlang

  • 14 September 2026
  • Oleh: Syamimi Manah
  • 30

KOTA DARULNAIM, 14 September - Majlis Daerah Machang (MDM) mencatat pencapaian membanggakan apabila meraih tiga anugerah dalam Sambutan Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 dan Konvensyen Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Seluruh Malaysia di Bertam Resort, Seberang Perai, Pulau Pinang, semalam.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata, pencapaian berkenaan turut melibatkan Pengiktirafan Pihak Berkuasa Tempatan Cemerlang bagi Penarafan Bintang Audit Teknikal (PBAT) Kesihatan Persekitaran Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan penarafan lima bintang iaitu 96 peratus.

Selain itu, MDM turut menerima Anugerah Penarafan Bintang PBT Cemerlang dengan penarafan empat bintang serta Tempat Pertama bagi Anugerah PBT Terbaik Pembayaran Tanpa Tunai.

Beliau berkata, MDM turut tersenarai sebagai lima PBT terbaik bagi pertandingan Kempen Membasmi Infestasi Tikus, Kempen Kesihatan Persekitaran Tahun 2026.

“Pencapaian Anugerah PBT Cemerlang merupakan sesuatu yang paling membanggakan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan kerana bagi kategori Majlis Daerah, penarafan yang perlu dicapai adalah tiga bintang manakala bagi bandaraya adalah lima bintang.

“Namun pada tahun ini, Majlis Daerah Machang telah berjaya mendapat empat bintang,” katanya di laman rasmi, hari ini.

YB Hilmi turut merakamkan tahniah kepada Yang Dipertua MDM Mohd Zamri Ibrahim serta seluruh warga MDM atas kejayaan tersebut.

Menurutnya, program berkenaan merupakan program tahunan bagi menilai perkhidmatan setiap PBT dengan sebanyak 156 PBT menyertai pertandingan anjuran KPKT.

Semua anugerah disampaikan Timbalan Menteri KPKT YB Datuk Aiman Athirah Sabu bersempena sambutan dan konvensyen yang dirasmikan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan YB Nga Kor Ming.

Majlis berkenaan turut disaksikan Ketua Setiausaha KPKT Datuk Wira Dr. M Noor Azman Taib.

YB Hilmi berharap pencapaian yang diraih MDM pada tahun ini dapat diteruskan pada masa hadapan, selain menjadi contoh kepada semua PBT di negeri Kelantan dalam usaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Pencapaian serta kerja keras yang ditunjukkan oleh Tuan YDP, Setiausaha, Ahli Majlis dan semua warga Majlis Daerah Machang ini perlu menjadi contoh kepada semua PBT di negeri Kelantan Darul Naim demi berusaha memberikan khidmat terbaik kepada rakyat,” ujarnya.

Pautan berjaya disalin!