145 pekebun kecil Kemahang terima 435 beg baja sawit
-
14 September 2026
-
Oleh: Irham Hilmi Hashim | Kredit foto: Media Exco
-
23
KOTA DARULNAIM, 14 September – Sebanyak 145 pekebun kecil sawit di Zon Kemahang menerima manfaat bantuan 435 beg baja bagi membantu meringankan kos pengurusan kebun serta meningkatkan produktiviti dan hasil tanaman sawit.
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, setiap pekebun menerima tiga beg baja seberat 50 kilogram setiap satu menerusi penyampaian bantuan kepada Persatuan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia, Zon Kemahang.
Menurutnya, bantuan berkenaan merupakan usaha membantu pekebun kecil dalam mengurus dan meningkatkan hasil tanaman sawit, di samping meringankan beban mereka.
“Sektor komoditi merupakan antara sumber pendapatan penting masyarakat luar bandar. Justeru, pembangunan sektor ini serta kebajikan para pekebun kecil perlu terus diberi perhatian,” katanya menerusi media sosialnya selepas menyampaikan bantuan tersebut sempena program Dapur Hijau peringkat DUN Kemahang, semalam.
Dalam pada itu, beliau berharap bantuan berkenaan dapat membantu mengurangkan kos pengurusan kebun, seterusnya meningkatkan produktiviti serta hasil tanaman sawit para pekebun di Kemahang.
Penyampaian bantuan tersebut turut disertai ADN Kemahang YB Mejar Dato’ Md Anizam Ab Rahman dan ADN Bukit Panau YB Dato’ Abdul Fattah Mahmood.












