Accessibility Tools

Skip to main content

Pohon Pitis diisytihar Warisan Kelantan

  • 14 September 2026
  • Oleh: Asri Hamat | Kredit foto: Media Istana dan YB Datuk Kamaruddin
  • 26

KOTA BHARU, 14 September - Pohon Pitis diisytihar sebagai Warisan Kelantan oleh Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra ibni Almarhum Sultan Ismail Petra.

Pengisytiharan tersebut dibuat sempena Majlis Perasmian Festival Senjata Warisan Kelantan di Istana Balai Besar, di sini, pada Khamis.

"Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, Beta merasmikan Festival Senjata Warisan Kelantan dan mengisytiharkan bahawa Pohon Pitis sebagai warisan Kelantan," titah baginda dalam majlis berkenaan.

Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra ibni Almarhum Sultan Ismail Petra

Sementara itu, Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Datuk Kamaruddin Md Nor, berkata pengisytiharan Pohon Pitis sebagai Warisan Negeri Kelantan pada tahun ini adalah satu pencapaian bermakna dalam usaha memperkukuh identiti dan khazanah warisan negeri.

Katanya, Pohon Pitis bukan sekadar tinggalan sistem mata wang tradisional, malah sebahagian daripada sejarah ekonomi, kebudayaan dan kehidupan masyarakat Kelantan pada suatu ketika dahulu.

"Keunikan Pohon Pitis terserlah melalui susunan kepingan pitis yang dibentuk menyerupai sebuah pohon, dengan kepingan-kepingan tersebut boleh dipatahkan untuk digunakan dalam urusan jual beli.

"Keunikan tersebut memperlihatkan bahawa warisan Kelantan hadir dalam pelbagai bentuk. Ia bukan hanya berkaitan bangunan bersejarah atau artifak lama, tetapi turut merangkumi warisan ekonomi, teknologi tradisional, seni pertukangan, adat, budaya dan amalan kehidupan masyarakat terdahulu," katanya dalam media sosial, pada Jumaat.

Katanya lagi, pengiktirafan Pohon Pitis sebagai Warisan Negeri Kelantan pada tahun ini turut memberikan nilai tambah kepada usaha memperkenalkan Kelantan sebagai negeri yang kaya dengan khazanah sejarah dan kebudayaan.

"Warisan seperti ini mempunyai potensi besar untuk diketengahkan sebagai sebahagian daripada produk pelancongan berasaskan warisan dan kebudayaan, khususnya kepada pelancong yang ingin mengenali sejarah serta identiti unik negeri ini," jelasnya.

Ujarnya lagi, warisan yang ada di Kelantan perlu dihidupkan, dipelajari, didokumentasikan dan diperkenalkan kepada generasi baharu serta pelawat dari dalam dan luar negara.

"Dalam konteks pembangunan sektor pelancongan, kesenian, kebudayaan dan warisan, khazanah seperti senjata tradisional dan Pohon Pitis boleh menjadi sebahagian daripada naratif besar Kelantan sebagai destinasi pelancongan warisan yang mempunyai identiti tersendiri," katanya.

Pautan berjaya disalin!