Accessibility Tools

Skip to main content

Guru SK Pulat juara RISE Educator Award 2026

  • 14 September 2026
  • Oleh: Asri Hamat | Kredit foto: Unit Media Menteri Besar
  • 29

KOTA DARULNAIM, 14 September - Kelantan menerima khabar membanggakan dari dunia pendidikan apabila guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pulat, Gua Musang, dinobatkan sebagai Juara RISE Educator Award 2026.

Cikgu Muhammad Hafizu Aiman Jusoh membawa pulang wang tunai RM5,000 selain tajaan RM55,000 untuk pembangunan program pendidikan di SK Pulat.

Kejayaan itu turut dilengkapi pencapaian Sir Zul Faizuddin Osman dari SK Sungai Rual, Jeli, yang terpilih sebagai salah seorang daripada lima finalis terbaik.

Beliau menerima wang tunai RM1,000 dan tajaan RM10,000 untuk sekolah berkenaan.

Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang, Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud berkata, kejayaan kedua-dua guru berkenaan membuktikan lokasi bukan batas kepada sebuah kecemerlangan.

“Dari Gua Musang hingga Jeli, kejayaan ini membuktikan bahawa lokasi bukan batas sebuah kecemerlangan. Guru-guru Kelantan terus mendidik dalam diam, membina generasi dan akhirnya mengharumkan nama negeri di pentas yang lebih besar.

“Terima kasih, cikgu. Kalian bukan sekadar mengajar tetapi menyalakan masa depan. Tahniah dan syabas. Kelantan bangga!” katanya menerusi media sosial, pada Ahad.

RISE Educator Award ialah anugerah tahunan di Malaysia yang dianjurkan Taylor's College bersama entiti pelajarnya, The Risers, bagi mengiktiraf dan meraikan jasa serta dedikasi guru yang memberi impak luar biasa terhadap kehidupan pelajar dan komuniti sekolah.

RISE merupakan singkatan kepada Remarkable Impact in Student Education dan majlis penyampaian anugerah berkenaan berlangsung di Taylor's Lakeside Campus, Subang Jaya, Selangor pada 12 Sepetember.

Hadiah disampaikan wakil penganjur, Pengarah Kampus Taylor's College Josephine Tan bersama barisan panel juri.

Pautan berjaya disalin!