Kelantan saran pengasuh sertai kursus pendidikan awal kanak-kanak – Dato’ Rohani
-
13 September 2026
-
Oleh: Syamimi Manah
-
23
KOTA DARULNAIM, 13 September- Kerajaan Negeri Kelantan menyarankan semua pengasuh kanak-kanak menyertai kursus pendidikan awal kanak-kanak bagi meningkatkan ilmu, kemahiran dan pengetahuan dalam memastikan aspek keselamatan, kebajikan serta perkembangan anak-anak diberi perhatian sewajarnya.
Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Dato’ Rohani Ibrahim berkata, tugas pengasuh bukan sekadar menjaga anak-anak, sebaliknya merupakan amanah besar yang melibatkan tanggungjawab terhadap keselamatan, kebajikan, perkembangan dan keceriaan mereka.
“Anak yang dihantar kepada pengasuh adalah dengan harapan besar ibu bapa supaya dijaga dengan baik. Tugas mengasuh merupakan amanah yang besar dan mulia,” katanya ketika merasmikan Kursus Halimatul Saadiah Tahun 2026 di H-Elite Design Hotel, Kota Bharu pada Jumaat.
Menurutnya, kursus berkenaan dianjurkan khas untuk memberikan pendedahan dan meningkatkan keupayaan para pengasuh dalam melaksanakan tanggungjawab mereka dengan lebih berkualiti.
Katanya, Kursus Halimatul Saadiah yang memasuki penganjuran kali keenam sejak tahun 2015 itu disertai 79 peserta pada tahun ini, manakala hampir 800 pengasuh telah mengikuti kursus berkenaan sebelum ini.
Dato’ Rohani berkata, nama Halimatul Saadiah dipilih bersempena nama wanita mulia yang menjadi ibu susuan dan pengasuh Nabi Muhammad SAW, sekali gus menjadi inspirasi bahawa tugas mengasuh merupakan tanggungjawab yang mulia dan besar pahalanya apabila dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab serta kasih sayang.
Beliau turut menzahirkan kebimbangan terhadap trend kadar kesuburan di Kelantan yang menurun daripada 3.4 anak pada 2015 kepada 2.3 anak pada 2024.
Menurutnya, apabila bilangan kelahiran berkurangan, aspek kualiti penjagaan dan pendidikan bagi setiap anak menjadi semakin penting.
“Pengasuhan berkualiti dan pendidikan awal kanak-kanak merupakan pelaburan penting dalam membina modal insan Kelantan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-KeKWa) sentiasa mengambil berat kebajikan rakyat bermula daripada peringkat kehamilan sehingga warga emas menerusi pelbagai inisiatif.
Antaranya termasuk Bengkel Ibu Hamil, Smart Parenting, Skim Cakna Aulad, Insentif Taska, Skim Halimatul Saadiah serta pelbagai program kebajikan dan pembangunan sosial yang lain.
Dato’ Rohani berkata, usaha tersebut turut disokong menerusi Dasar Keluarga Mawaddah Negeri Kelantan 2010 dan Dasar Kanak-Kanak Fitrah Negeri Kelantan 2018 yang merupakan antara tujuh dasar yang diusahakan U-KeKWa.
Beliau berharap para pengasuh dapat melihat pekerjaan tersebut sebagai satu amanah dalam membentuk generasi masa hadapan dan mengaplikasikan ilmu yang diperoleh menerusi kursus dalam tugas harian.
Katanya, penerapan ilmu, kemahiran dan kasih sayang secara berterusan penting bagi mewujudkan pengasuhan yang lebih berkualiti, selamat dan memberi manfaat kepada perkembangan anak-anak.












