Dapur Hijau DUN Dabong perkasa sekuriti makanan keluarga - Exco Pertanian
-
13 September 2026
-
Oleh: Irham Hilmi Hashim
-
20
KOTA DARULNAIM, 13 September – Program Dapur Hijau Peringkat DUN Dabong melibatkan 40 peserta dalam usaha menggalakkan masyarakat memanfaatkan ruang di rumah untuk mengusahakan tanaman makanan sendiri sekali gus memperkukuh sekuriti makanan keluarga.
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, penerima terdiri daripada golongan ibu tunggal, asnaf dan suri rumah yang diharapkan dapat memanfaatkan kemudahan serta input disediakan bagi menghasilkan tanaman segar untuk kegunaan keluarga.
Menurutnya, inisiatif berkenaan turut membuka peluang kepada penerima untuk memanfaatkan hasil tanaman sebagai potensi menjana pendapatan sampingan.
“Program ini merupakan salah satu usaha untuk menggalakkan masyarakat memanfaatkan ruang yang ada di rumah bagi mengusahakan tanaman makanan sendiri,” katanya menerusi media sosialnya selepas merasmikan program Dapur Hijau Peringkat DUN Dabong yang berlangsung di Surau Hijau Gua Ikan, Dabong, pada Jumaat lalu.
Dalam pada itu, beliau berharap Program Dapur Hijau terus berkembang dan memberi manfaat kepada lebih ramai keluarga, khususnya dalam membudayakan amalan bercucuk tanam serta menghidupkan semangat bertani sebagai satu usaha yang bernilai dan diberkati.
“Semoga Program Dapur Hijau ini terus berkembang dan memberi manfaat kepada lebih ramai keluarga, khususnya dalam membudayakan amalan bercucuk tanam, menjamin sekuriti makanan keluarga serta menghidupkan semangat bertani sebagai satu usaha yang bernilai dan diberkati,” ujarnya.
Turut hadir, Ahli Dewan Negeri (ADN) Dabong YB Ku Mohd Zaki Ku Hussain.










