MSN Kelantan hubungi atlet, keluarga selesai isu insentif Sukan SEA – YB Zamakhshari
-
13 September 2026
-
Oleh: Syamimi Manah
-
37
KOTA DARULNAIM, 13 September - Majlis Sukan Negeri Kelantan (MSN Kelantan) mengambil langkah proaktif dengan menghubungi atlet berkenaan dan keluarganya bagi memberikan penjelasan secara terus berhubung isu insentif kemenangan di temasya Sukan SEA.
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad berkata, hasil perbincangan bersama atlet dan keluarga, perkara berkenaan telah dapat diselesaikan secara baik.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri Kelantan mengambil maklum isu yang tular berkaitan dakwaan pembayaran insentif kemenangan kepada atlet Kelantan yang berjaya mengharumkan nama Malaysia di temasya berkenaan.
“Pihak MSN Kelantan telah mengambil langkah proaktif dengan menghubungi atlet berkenaan dan keluarganya bagi memberikan penjelasan secara terus berhubung kedudukan serta prosedur tuntutan yang berkaitan.
“Hasil perbincangan tersebut, perkara ini telah dapat diselesaikan secara baik,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, semakan yang dibuat MSN Kelantan mendapati pemberian insentif adalah tertakluk kepada rekod, kelayakan serta ketetapan yang telah ditetapkan.
Katanya, dalam kes berkenaan terdapat perbezaan dari segi status penyertaan dan atlet tersebut tidak terlibat dengan program MSN Kelantan.
Walau bagaimanapun, YB Zamakhshari berkata, perkara itu tidak seharusnya dilihat sebagai tanda Kerajaan Negeri tidak menghargai kejayaan atlet berkenaan.
“Saya tidak mahu perkara ini menjadi polemik atau membawa kepada keadaan seolah-olah Kerajaan Negeri tidak menghargai kejayaan atlet tersebut. Itu bukan pendirian kita,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan kerajaan negeri sentiasa terbuka untuk meneliti rekod dan maklumat yang dikemukakan sekiranya terdapat kekeliruan berkaitan perkara terdahulu atau proses tuntutan.
“Kita tidak mahu ada atlet yang merasakan mereka tidak dihargai atau terpinggir,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata setiap pemberian insentif perlu dilaksanakan secara telus, adil dan mengikut ketetapan kerana ia melibatkan pengurusan wang rakyat.
Menurutnya, prinsip tadbir urus perlu terus dipelihara dalam memastikan kepentingan atlet dapat dijaga.
“Kita mempunyai matlamat yang sama — menghargai atlet, menjaga kebajikan mereka dan mengangkat nama Kelantan dalam dunia sukan.
“Kerajaan negeri akan terus bersama atlet Kelantan. Kita raikan kejayaan mereka, kita perbaiki apa yang perlu dan kita terus membangunkan sukan Kelantan,” tegasnya.
















