176 warga DUN Dabong terima bantuan kebajikan
-
13 September 2026
-
Oleh: Irham Hilmi Hashim
-
40
KOTA DARULNAIM, 13 September – Sebanyak 176 warga Dabong menerima pelbagai bantuan kebajikan melibatkan Skim Gerbang Perkahwinan Aziwaj, sumbangan penyakit kronik, bantuan Kifaalah serta sumbangan pendidikan kepada pelajar IPTA/S seusai Program Kuliah Duha Peringkat DUN Dabong.
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, program berkenaan turut diselitkan dengan Majlis Tahnik kepada lima anak mukim yang baru menerima cahaya mata serta penyampaian cenderahati kepada keluarga yang baru dikurniakan zuriat.
Menurutnya, sebanyak dua penerima menerima Skim Gerbang Perkahwinan Az-Ziwaj, manakala 25 penerima mendapat sumbangan penyakit kronik dan 22 penerima menerima bantuan Kifaalah.
“Turut disampaikan sumbangan kepada 127 orang pelajar IPTA/S sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan dan pendidikan anak-anak masyarakat DUN Dabong,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi media sosial selepas memenuhi undangan menyampaikan Kuliah Duha pada Jumaat lalu.
Dalam pada itu, beliau berterima kasih atas penganjuran Program Kuliah Duha oleh Pusat Khidmat DUN Dabong dengan sokongan padu Ahli Dewan Negeri (ADN) Dabong YB Ku Mohd Zaki Ku Hussain.
Menurutnya, program tersebut berjaya menjadi ruang untuk memperkukuhkan kefahaman agama, menyuburkan ukhuwah serta membina masyarakat yang sentiasa dekat dengan Allah SWT.
“Semoga majlis ilmu seperti ini terus menjadi ruang untuk memperkukuhkan kefahaman agama, menyuburkan ukhuwah dan membina masyarakat yang sentiasa dekat dengan Allah SWT,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap segala sumbangan dan bantuan yang disampaikan dapat meringankan beban penerima serta menjadi sebahagian daripada usaha membina masyarakat yang saling mengambil berat, membantu dan memperkukuhkan antara satu sama lain.












