Accessibility Tools

Skip to main content

1,300 sertai Larian Merdeka Jajahan Pasir Puteh

  • 13 September 2026
  • Oleh: Asyura Muhamad
  • 30

PASIR PUTEH, 13 Sept — Seramai 1,300 peserta memeriahkan Program Larian Merdeka Jajahan Pasir Puteh 2026 Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Kolej Matrikulasi Kelantan, di sini, semalam.

Program itu turut dimeriahkan dengan penglibatan peserta dari luar Kelantan termasuk Terengganu, Selangor dan Kuala Lumpur, sekali gus mencerminkan sambutan menggalakkan terhadap penganjuran aktiviti sukan bersempena Bulan Kebangsaan.

Acara berkenaan melibatkan lapan kategori bagi murid lelaki dan perempuan berusia sembilan hingga 12 tahun, dengan pertandingan bermula daripada kategori lelaki dan perempuan berumur sembilan tahun sehingga 12 tahun.

SK Kamil 2 muncul juara keseluruhan dan menerima piala iringan serta wang tunai RM500.

Sementara itu, SK Banggol Saman, Kota Bharu meraih Anugerah Penyertaan Murid Paling Ramai selepas menghimpunkan 273 peserta, sekali gus melayakkan sekolah berkenaan menerima wang tunai RM500.

Program anjuran Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) dengan kerjasama Kolej Matrikulasi Kelantan dan Tourism Kelantan itu dirasmikan penutupnya oleh Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Datuk Kamarudin Md Nor.

"Penganjuran program ini bukan sahaja menyemarakkan semangat patriotisme dan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan generasi muda, malah berpotensi memperkenalkan Pasir Puteh sebagai destinasi bagi aktiviti sukan dan pelancongan," katanya.

Turut hadir Pengarah Kolej Matrikulasi Kelantan Muhamad Fariq Che Mee, Penolong Pengarah Tourism Kelantan Muhammad Hafizuddin Hasbullah, Timbalan Ketua WHIP MDPP Mohd Judin Samat serta Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (Sektor Pengurusan Sekolah) Pasir Puteh Yusof Mohammad.

Majlis turut diserikan dengan persembahan pantomim ‘Jihad Putera Jeram’ oleh kakitangan MDPP.

Pautan berjaya disalin!