Accessibility Tools

Skip to main content

Enam novel SN S. Othman Kelantan diterbitkan semula

  • 13 September 2026
  • Oleh: Norzana Razaly
  • 30

KOTA BHARU, 13 September – Enam novel karya Sasterawan Negara (SN) Allahyarham S. Othman Kelantan  diterbitkan semula secara sinergi oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Nusa Centre.

Usaha tersebut membuka peluang kepada generasi baharu mengenali serta menghayati khazanah kesusasteraan tokoh kelahiran Kelantan itu yang dinobatkan sebagai Sasterawan Kelantan yang pertama pada tahun 2003.

Enam karya Sasterawan Negara ke-9 itu ialah Ruang Perjalanan, Orang Kota Bharu, Wajah Seorang Wanita, Perjudian, Perwira dan Juara.

Pelancaran penerbitan semula karya tersebut disempurnakan oleh Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Wan Roslan Wan Hamat yang mewakili Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud sempena Hari Iqra’ dan Pesta Buku Darul Naim 2026 di Mydin Mall Tunjong, pada Khamis lepas.

Pengarah Nusa Centre S. M Zakir Syed Othman yang juga anak kepada Allahyarham S. Othman Kelantan berkata, penerbitan semula itu dilaksanakan susulan karya berkenaan yang telah lama habis di pasaran.

“Pelancaran enam buku Allahyarham SN S. Othman Kelantan terbitan bersama DNP dan Nusa Centre adalah usaha Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kelantan dan Nusa Centre.

“Penerbitan semula enam judul karya Allahyarham S. Othman Kelantan disebabkan buku-buku berkenaan sudah lama habis di pasaran,” katanya yang dinobatkan sebagai Sasterawan Kelantan bagi tahun 2023.

Menurutnya lagi, usaha tersebut penting bagi memastikan karya S. Othman Kelantan terus berada dalam ekosistem pembacaan semasa dan dapat diakses oleh khalayak baharu, khususnya generasi muda serta pengkaji kesusasteraan Melayu.

"Penerbitan semula enam novel itu juga menjadi langkah signifikan dalam memelihara kesinambungan karya S. Othman Kelantan sebagai sebahagian daripada khazanah persuratan negara, selain memperkenalkan kembali pemikiran, persoalan masyarakat dan dunia kepengarangan beliau kepada pembaca masa kini," jelasnya.

Pautan berjaya disalin!