Pengasuh perlu miliki ilmu, kasih sayang dan kemahiran jaga kanak-kanak – Dato’ Rohani
-
13 September 2026
-
Oleh: Syamimi Manah
-
30
KOTA DARULNAIM, 13 September - Pengasuh kanak-kanak memiliki ilmu dan kemahiran selain memberikan kasih sayang serta perhatian dalam memastikan proses tumbesaran anak-anak di bawah jagaan mereka berjalan dengan baik.
Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Dato’ Rohani Ibrahim berkata, tanggungjawab sebagai pengasuh bukan sekadar menyediakan penjagaan, sebaliknya turut merangkumi aspek didikan dan pembentukan akhlak kanak-kanak.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kursus Halimatul Saadiah (Pengasuh Kanak-Kanak) yang berlangsung di sebuah hotel, di sini, pada Jumaat.
“Anak-anak kecil ini bukan sekadar perlukan penjagaan, tetapi juga kasih sayang, didikan dan perhatian dalam proses membesar,” katanya di laman rasmi, pada Jumaat.
Menurutnya, setiap pengasuh juga perlu membetulkan niat dalam menuntut ilmu dan tidak menjadikan sijil sebagai matlamat utama penyertaan dalam kursus.
Katanya lagi, ilmu yang diperoleh perlu dihayati dan diterjemahkan dalam pelaksanaan tugas seharian supaya manfaatnya benar-benar dirasai oleh anak-anak di bawah jagaan.
“Ilmu yang dipelajari hari ini biarlah masuk ke telinga, sampai ke hati dan dipraktikkan. Jadilah pengasuh yang sabar, penyayang dan mendidik dengan penuh hikmah,” ujarnya.
Dato’ Rohani juga berkata, penerapan ilmu dan kasih sayang dalam penjagaan kanak-kanak mampu membantu membentuk generasi yang baik, cemerlang dan berakhlak mulia.
Beliau turut berharap setiap usaha serta kebaikan yang dicurahkan oleh para pengasuh dalam melaksanakan amanah tersebut mendapat nilai di sisi Allah SWT.














