Karnival Cakna Rakyat himpun keluarga besar DUN Guchil – YB Hilmi
-
13 September 2026
-
Oleh: Syamimi Manah
-
26
KOTA DARULNAIM, 13 September - Karnival Cakna Rakyat DUN Guchil 2026 menjadi medan menghimpunkan masyarakat sebagai sebuah keluarga besar yang saling mengenali, menghargai dan cakna antara satu sama lain.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Guchil YB Hilmi Abdullah berkata, penganjuran program itu penting dalam menyuburkan semangat kebersamaan menerusi pertemuan masyarakat daripada pelbagai lapisan umur dan latar belakang.
“Suasana seperti inilah yang kita mahu terus suburkan dalam masyarakat, bukan sekadar datang untuk menyertai sesuatu pertandingan, tetapi untuk bertemu, bertegur sapa, mengeratkan silaturahim dan memperkukuhkan kesatuan komuniti,” katanya di laman rasmi, semalam.
Karnival yang berlangsung pada 12 September di padang Sekolah Kebangsaan Banggol Guchil itu disertai kontinjen daripada 10 zon dalam DUN Guchil yang tampil dengan perarakan penuh warna-warni, kreativiti dan semangat berpasukan.
Program turut diisi dengan doa selamat dan ucapan perasmian oleh Ahli Parlimen Kuala Krai YB Abdul Latiff Abdul Rahman sebelum diteruskan dengan pertandingan hiasan khemah, pakaian tema sedondon serta pelbagai sukaneka rakyat.
Aktiviti berkenaan melibatkan penyertaan kanak-kanak, belia, dewasa dan warga emas, manakala penilaian pertandingan dibuat oleh dua hakim bebas serta lima hakim yang dihantar oleh Kerajaan Negeri Kelantan.
Menurut YB Hilmi, karnival itu turut memberi ruang kepada masyarakat mendapatkan maklumat dan khidmat nasihat menerusi pameran serta perkhidmatan daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta.
Beliau berkata, pendekatan seperti itu penting kerana masyarakat yang kuat bukan hanya dibina melalui pembangunan fizikal, tetapi turut bergantung kepada hubungan sesama manusia, semangat gotong-royong, rasa saling menghormati dan budaya saling membantu.
YB Hilmi turut merakamkan penghargaan kepada peserta daripada sepuluh zon yang memberikan komitmen dalam menjayakan karnival berkenaan, selain urus setia, jawatankuasa penganjur, petugas, sukarelawan, agensi terlibat dan semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakannya.
“Menang atau tidak, penyertaan dan semangat yang ditunjukkan itulah kemenangan sebenar dalam membina kebersamaan masyarakat DUN Guchil,” ujarnya.
Beliau berharap Karnival Cakna Rakyat DUN Guchil dapat dianjurkan dengan lebih meriah, kreatif dan mendapat lebih banyak penyertaan pada tahun hadapan.
“Yang kita bina bukan sekadar sebuah karnival, tetapi sebuah keluarga besar DUN Guchil yang saling mengenali, saling menghargai dan sentiasa cakna antara satu sama lain,” jelasnya.














