Accessibility Tools

Skip to main content

KIAS peneraju pelaksanaan DPRK - MB Kelantan

  • 13 September 2026
  • Oleh: Asri Hamat
  • 26

KOTA BHARU, 13 September - Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) memainkan peranan penting sebagai institusi pengajian tinggi yang menjadi peneraju pelaksanaan Dasar Pendidikan Rabbani (DPR) Kerajaan Negeri Kelantan.

Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud berkata dasar berkenaan penting dalam membangunkan modal insan yang cemerlang dari sudut intelektual dan memiliki kekuatan spiritual.

Katanya, perkembangan dunia yang begitu pantas, khususnya dalam era kecerdasan buatan (AI) dan ledakan maklumat, menuntut pendekatan pendidikan yang tidak hanya berorientasikan penyampaian ilmu.

"Dunia hari ini menyaksikan teknologi berkembang lebih pantas daripada kemampuan manusia untuk menyesuaikan diri dengannya.

"Namun demikian, kemajuan teknologi tidak semestinya diiringi dengan kemajuan akhlak dan nilai kemanusiaan.

"Atas sebab itu Kerajaan Negeri Kelantan sejak sekian lama meletakkan asas pembangunan modal insan menerusi DPR, iaitu pendekatan pendidikan yang menyeimbangkan kecemerlangan intelektual dengan kekuatan spiritual," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Istiadat Konvensyen KIAS kali ke-26 di Dewan Johor, KIAS Tunjong, di sini, semalam.

Katanya lagi, peranan KIAS penting kerana kejayaan sesebuah institusi diukur melalui bilangan graduan dan keupayaan membentuk pemikiran, nilai, sahsiah dan kepakaran yang diperlukan masyarakat.

"Institusi pendidikan tinggi seperti KIAS adalah pemangkin utama dalam agenda pembangunan sesebuah negeri. Membangunkan prasarana yang moden sahaja tidak cukup, tetapi negeri yang maju memerlukan institusi pendidikan yang melahirkan modal insan berkualiti," jelasnya.

Beliau turut menyatakan kebanggaan terhadap perkembangan akademik KIAS yang semakin memberangsangkan, dengan 24 program akademik di pelbagai peringkat pengajian kini memperoleh Akreditasi Penuh daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Katanya, program yang ditawarkan KIAS juga semakin pelbagai dan bersifat multidisiplin serta mempunyai permintaan dalam pasaran pekerjaan.

"Pendekatan ini membuktikan bahawa KIAS sentiasa peka terhadap perubahan keperluan semasa, di samping terus mengekalkan identitinya sebagai institusi pengajian tinggi Islam yang progresif," katanya.

Dalam pada itu beliau memaklumkan, kejayaan KIAS menawarkan Program Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pengajian Islam turut menjadi perkembangan yang membanggakan.

Menurutnya, perkembangan itu menjadi lambang kematangan sesebuah institusi dalam melahirkan sarjana, penyelidik serta ilmuwan yang mampu menyumbang kepada perkembangan ilmu di peringkat nasional dan antarabangsa.

Beliau berharap program berkenaan menjadi medan melahirkan lebih ramai tokoh ilmuwan yang mahir dalam disiplin Pengajian Islam dan mampu mengemukakan penyelesaian terhadap isu kontemporari berasaskan al-Quran, al-Sunnah serta tradisi keilmuan Islam yang muktabar.

"Saya juga berharap agar KIAS terus memperluaskan penawaran program pascasiswazah dalam bidang-bidang strategik, yang dapat menyokong pembangunan negeri serta memenuhi keperluan masyarakat pada masa hadapan," katanya.

Tambahnya, budaya penyelidikan dan inovasi juga perlu terus diperkasakan dan disemarakkan di KIAS, selaras dengan keperluan negara yang berjaya memberikan keutamaan kepada keupayaan rakyat menjana ilmu baharu, membangunkan teknologi serta menghasilkan inovasi bagi meningkatkan kesejahteraan masyarakat.

Katanya lagi, Kerajaan Negeri Kelantan sentiasa menggalakkan hasil penyelidikan pensyarah KIAS supaya tidak sekadar diterbitkan dalam jurnal ilmiah, sebaliknya diterjemahkan kepada dasar awam, produk, inovasi dan penyelesaian yang mampu menangani isu sebenar dihadapi rakyat, khususnya di Kelantan.

Pautan berjaya disalin!