Kelantan Pharm Run 3.0 semai budaya hidup aktif masyarakat
-
13 September 2026
-
Oleh: Irham Hilmi Hashim | Kredit foto: Media Exco
-
30
KOTA DARULNAIM, 13 September – Penganjuran Kelantan Pharm Run 3.0 sempena sambutan Hari Farmasi Sedunia 2026 menjadi wadah untuk menyemai budaya gaya hidup aktif, di samping memperkasakan kesedaran terhadap peranan penting pegawai farmasi dalam kesihatan awam.
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad berkata, inisiatif berkenaan wajar diteruskan sebagai usaha membina kesedaran kesihatan yang lebih menyeluruh dalam kalangan masyarakat.
Beliau berkata demikian menerusi media sosial selepas merasmikan Kelantan Pharm Run 3.0 di Kompleks Sukan Kampus Kesihatan USM Kubang Kerian, semalam.
“Program seperti ini bukan sekadar aktiviti larian, tetapi medan untuk mendidik masyarakat mengamalkan gaya hidup aktif, sambil mendekatkan peserta dengan peranan penting para pegawai farmasi dalam kesihatan awam,” katanya.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan dan tahniah kepada Bahagian Perkhidmatan Farmasi JKNK, Jabatan Farmasi HPUSM serta Malaysian Pharmacists Society (Kelantan) atas penganjuran program tersebut.
Beliau berharap inisiatif seumpama itu terus menyumbang kepada pembudayaan gaya hidup sihat dan peningkatan kesedaran kesihatan masyarakat.










