Accessibility Tools

Skip to main content

Dato' Ahmad Yakob terima Ijazah Kehormat Doktor Pengajian Islam

  • 12 September 2026
  • Oleh: Asri Hamat
  • 25

KOTA BHARU, 12 September - Mantan Menteri Besar Kelantan YB Dato' Bentara Kanan Ustaz Dato' Ahmad Yakob menerima anugerah Ijazah Kehormat Doktor Pengajian Islam sempena Istiadat Konvokesyen Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), ke-26, hari ini.

Dalam ucapannya, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak KIAS atas penghormatan dan pengiktirafan yang diberikan kepadanya.

Katanya, penganugerahan ijazah kehormat itu merupakan satu pengiktirafan yang amat bermakna buat dirinya dan diterima dengan penuh rasa rendah diri serta kesyukuran.

"Ini sebagai tanda penghormatan terhadap seluruh usaha, perjuangan dan pengorbanan mereka yang telah bersama-sama menyumbang kepada pembangunan agama, pendidikan dan masyarakat," ujarnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa ilmu adalah amanah yang mampu mengangkat darjat manusia apabila disertai dengan iman dan amal.

"Atas asas inilah KIAS dibangunkan, bukan sekadar untuk menyampaikan pengetahuan tetapi untuk melahirkan insan berilmu, berakhlak dan bersedia berkhidmat kepada masyarakat," katanya.

Menurutnya lagi, segala kejayaan yang dicapai KIAS bukanlah hasil usaha seorang individu, sebaliknya kesinambungan perjuangan pemimpin terdahulu khususnya Allahyarham Tan Sri Dato' Bentara Setia Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat bersama sahabat-sahabat lain dalam kepimpinan.

Katanya, kejayaan itu turut didukung komitmen Kerajaan Negeri, peranan Yayasan Kelantan Darulnaim serta kesungguhan Lembaga Pengarah, pengurusan, tenaga akademik, kakitangan, mahasiswa dan alumni.

Beliau menegaskan, KIAS adalah legasi Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan (YPTIK) di Nilam Puri yang dihidupkan kembali melalui Maahad Dakwah wal-Imamah pada 1994.

"Sebelum berkembang menjadi Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra pada 1999, antara perhatian utama ialah memastikan KIAS berkembang sebagai institusi pendidikan tinggi Islam yang tersusun, berwibawa dan jelas," katanya.

Menurut Dato' Ahmad lagi, usaha mendapatkan status kolej universiti mengambil masa yang panjang dan melibatkan beberapa siri permohonan, pemenuhan syarat demi syarat, pengukuhan akademik serta rundingan berterusan dengan Kementerian Pengajian Tinggi.

"Alhamdulillah, dengan berkat pertolongan Allah SWT dan usaha semua pihak, KIAS memperoleh kelulusan untuk dinaik taraf sebagai kolej universiti pada 22 Mei 2021 dan dilancarkan secara rasmi pada 23 Januari 2022," jelasnya.

Beliau berpandangan, kelulusan KIAS sebagai kolej universiti merupakan satu kejayaan bagi seluruh rakyat Kelantan.

"Ini membuktikan kemampuan institusi pendidikan Islam milik Kerajaan Negeri untuk berdiri sama tinggi dengan universiti nasional yang lain" katanya.

Ujarnya lagi, selagi diberikan kesihatan dan kesempatan, beliau akan terus menyumbang melalui perkongsian pengalaman dan pandangan.

"Saya berdoa agar KIAS terus menjadi pusat kecemerlangan ilmu Islam dan dapat diterjemahkan melalui institusi pendidikan serta pembinaan generasi Rabbani.

"Kepada seluruh kepimpinan dan warga KIAS, teruskanlah usaha membina kecemerlangan serta memperkukuhkan peranan institusi ini demi agama, masyarakat dan negara," katanya.

Beliau turut mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para graduan yang diraikan dan berharap ilmu yang diperoleh menjadi manfaat serta bekalan untuk terus menyumbang kepada masyarakat.

Pautan berjaya disalin!