Accessibility Tools

Skip to main content

280 graduan KIAS terima ijazah dan diploma

  • 12 September 2026
  • Oleh: Asri Hamat
  • 33

KOTA BHARU, 12 September - Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Sultan Ismail Petra (KIAS) terus melahirkan graduan yang berilmu dan bermanfaat kepada masyarakat apabila sebanyak 280 menerima diploma dan ijazah masing-masing, daripada Menteri Besar Kelantan YAB Dato Panglima Perang Ustaz Dato Mohd Nassuruddin Daud.

Mereka diraikan dalam Istiadat Konvokesyen KIAS Kali Ke-26 yang berlangsung pada hari ini di Dewan Johor, KIAS di Nilam Puri, di sini, hari ini.

Daripada 280 graduan tersebut, 150 graduan menerima Ijazah Sarjana Muda dan Diploma pada sidang pagi yang terdiri daripada graduan Sarjana Muda Muamalat Kewangan Islam dengan kepujian, Sarjana Muda Syariah dengan pengurusan Halal dengan kepujian, Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak dengan Kepujian, Diploma Syariah, Diploma Kewangan Islam, Diploma Pengurusan Halal, Diploma Dakwah Dengan Media, Diploma Kaunseling, Diploma pendidikan awal kanak kanak, Diploma Pengurusan Logistik Dan Diploma Teknologi maklumat.

Sehubungan itu, Dato' Mohd Nassuruddin Daud berkata, istiadat konvensyen berkenaan menjadi majlis untuk meraikan kejayaan akademik graduan yang gigih menuntut ilmu di institusi berkenaan.

Katanya, konvokesyen turut menjadi lambang kejayaan sesebuah institusi pendidikan dalam melaksanakan amanah membina manusia yang mempunyai daya intelektual tinggi.

"Saya dengan penuh rasa bangga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada seluruh graduan atas kejayaan yang telah saudara dan saudari kecapi.

"Saya yakin, perjalanan meraih sebuah kejayaan ini bukan hadir dalam sekelip mata, sebaliknya lahir daripada usaha yang gigih dan pengorbanan yang begitu besar."

Menurutnya, segulung diploma atau ijazah yang diterima graduan bukan sekadar pengiktirafan akademik, sebaliknya simbol amanah yang perlu dipikul dengan penuh rasa tanggungjawab.

Beliau menggesa, setiap graduan sentiasa mengingati bahawa ilmu yang diperoleh tidak boleh berhenti pada diri sendiri, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada manfaat yang dapat dirasai masyarakat.

"Perkara ini selari dengan galakan Rasulullah SAW agar sentiasa memohon kepada Allah SWT supaya diberikan manfaat daripada ilmu serta dikurniakan ilmu yang bermanfaat," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan para graduan supaya tidak melupakan ibu bapa dan penjaga yang menjadi tonggak utama kejayaan para mereka.

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua ibu bapa yang memberikan dorongan, pengorbanan serta sokongan tidak berbelah bahagi sepanjang tempoh pengajian anak-anak mereka di KIAS.

"Semoga Allah SWT membalas segala pengorbanan tuan-tuan dan puan-puan dengan ganjaran yang berlipat ganda," ujarnya.

Hadir sama, Mantan Menteri Besar yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Pasir Pekan YB Dato' Bentara Kanan Ustaz Dato' Ahmad Yakob, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato' Wan Roslan Wan Hamat dan timbalannya, YB Kamaruzzaman Mohamad serta Rektor KIAS Profesor Dr Mazlan Ibrahim.

Pautan berjaya disalin!